BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Jenazah lima sekeluarga selamat dikebumikan

KUANTAN – Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Budaya Cerating hari ini apabila lima sekeluarga yang maut dalam kejadian tragis di Taman Cherating Damai semalam selamat dikebumikan.

Empat daripada jenazah disemadikan dalam satu liang, manakala jasad suspek yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan itu dikebumikan secara berasingan di tanah perkuburan sama kira-kira pukul 7.20 malam.

Terdahulu, empat jenazah iaitu Tuan Kamaria Tuan Puteh, 56; anaknya Nurul Asshiykin Kamaruzaman, 33; serta dua cucunya, Nur Sumayyah Humairah, 2, dan Nur Saffiyah Humairah, 5, dibawa ke Masjid Cherating untuk dimandi dan dikafankan.

Jenazah suspek pula dibawa ke Masjid Sungai Ular bagi menjalani proses sama sebelum kesemua jenazah disolatkan dan dibawa ke tanah perkuburan, memetik laporan Buletin TV3.

Lebih 100 ahli keluarga, jiran dan kenalan hadir memberikan penghormatan terakhir.

Sebelum itu, semua jenazah dituntut waris selepas selesai proses bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) kira-kira pukul 2.50 petang.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi semalam, lima beranak itu ditemukan meninggal dunia di kediaman mereka.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah dilaporkan berkata, Nurul Asshiykin dipercayai dibunuh suaminya sebelum suspek menikam ibu mentuanya serta dua anak perempuannya.

Menurut beliau, suspek kemudian dipercayai bertindak membunuh diri.

Mayat pasangan suami isteri dan dua anak mereka ditemukan di bilik tidur utama, manakala jasad ibu suspek ditemui di bahagian dapur rumah berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button