Dua senior didakwa bunuh pelajar Tingkatan Dua di asrama
KUALA PILAH – Dua pelajar lelaki Tingkatan Empat dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pelajar Tingkatan Dua di asrama sebuah sekolah menengah di Kuala Pilah bulan lalu.
Kedua-dua tertuduh berusia 16 tahun itu bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslinda Razali berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua pelajar itu didakwa membunuh Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, antara pukul 7.30 malam hingga 8.50 malam di asrama putera sekolah berkenaan di Kuala Pilah pada 25 September lalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan, sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, dikenakan sebatan sekurang-kurangnya 12 kali.
Prosiding berkenaan yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah berlangsung secara tertutup kerana kedua-dua tertuduh masih di bawah umur.
Peguam Datuk Hanif Hassan yang mewakili kedua-dua tertuduh berkata, mahkamah menetapkan 7 Disember ini bagi sebutan laporan patologi, laporan kimia dan laporan forensik.
Menurutnya, pihak pembelaan turut memohon arahan mahkamah supaya kedua-dua anak guamnya ditempatkan di pusat koreksional sementara menunggu tarikh prosiding seterusnya.
“Permohonan itu dibuat supaya satu intervensi dari aspek kaunseling dapat diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Ia bagi membantu kedua-dua penama daripada segi mental dan emosi, selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya memetik laporan Sinar Online.
Hanif berkata, pihak pembelaan akan memastikan kedua-dua tertuduh mendapat pembelaan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang, termasuk Akta Kanak-Kanak 2001 dan Kanun Prosedur Jenayah.
Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Idlan Fareeq meninggal dunia di sebuah asrama sekolah dan dipercayai dipukul menggunakan getah paip oleh seorang pelajar senior.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa selesai menunaikan solat Maghrib di asrama sekolah berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








