BERITA SEMASAPMX

Pertemuan dengan Aung Hlaing penting selesai isu pelarian Myanmar – Anwar

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pertemuan empat mata dengan Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing penting bagi mencari penyelesaian terhadap isu pelarian negara itu di Malaysia, khususnya berkaitan usaha penghantaran pulang ke Myanmar.

Beliau berkata, perbincangan secara langsung dengan Presiden Myanmar dan kepimpinan negara berkenaan memberi peluang untuk membolehkan isu pelarian yang berlarutan selama puluhan tahun ditangani secara lebih tuntas.

Anwar berkata demikian selepas mengadakan pertemuan empat mata selama kira-kira 30 minit dengan Min Aung Hlaing sempena lawatan rasmi Presiden Myanmar itu ke Malaysia, hari ini.

Menurutnya, antara perkara yang dibincangkan ialah usaha penghantaran pulang pelarian Myanmar secara sukarela, selamat dan bermaruah tanpa mengira etnik.

“Pendekatan selama ini yang mengehadkan ruang dialog tidak membuahkan hasil, bahkan isu yang berlarutan selama puluhan tahun ini terus meruncing dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya melalui kenyataan di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, pertemuan itu berlangsung dalam suasana saling menghormati dan menjadi kesinambungan kepada pertemuan mereka di Bangkok awal tahun lalu.

Katanya, kedua-dua pemimpin turut berbicara secara terbuka mengenai isu yang menyentuh kepentingan Malaysia dan Myanmar.

“Justeru, ruang perbincangan yang berasaskan sikap saling menghormati dan kepercayaan ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengusahakan penyelesaian yang nyata,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button