Zed Zaidi kekal Presiden SENIMAN hingga 2028
KUALA LUMPUR – Pelakon, Zed Zaidi sekali lagi diberi kepercayaan untuk menerajui Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) selepas mempertahankan jawatan Presiden pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) SENIMAN Ke-24 yang berlangsung di Kompleks FINAS, Hulu Kelang, hari ini.

Zed akan memegang jawatan berkenaan bagi tempoh tiga tahun sehingga 2028 selepas memperoleh 147 undi, sekali gus menewaskan pencabarnya, pelakon Betty Banafe yang meraih sembilan undi.
Beliau berkata, mandat baharu itu membolehkan barisan kepimpinan sedia ada diteruskan bagi memastikan kelangsungan pentadbiran persatuan berjalan lancar serta agenda kebajikan dan pembangunan industri seni dapat dilaksanakan secara berterusan.
“Tiada istilah bermusuhan dalam pemilihan ini. Kami ibarat adik-beradik dan proses ini mencerminkan kematangan demokrasi dalam kalangan ahli SENIMAN.
“Sesiapa sahaja berhak menawarkan diri untuk memimpin dan pertandingan yang berlaku adalah secara sihat demi kebaikan persatuan,” katanya ketika ditemui selepas AGM berkenaan.
Zed turut merakamkan penghargaan kepada ahli yang terus memberikan sokongan, termasuk ahli baharu yang menyatakan komitmen untuk bersama-sama memperkukuh peranan SENIMAN sebagai badan yang memperjuangkan kebajikan penggiat seni tanah air.
Dalam pemilihan sama, jawatan Timbalan Presiden kekal disandang Rena Tan selepas memperoleh 96 undi, menewaskan Ellie Suriaty yang menerima 60 undi.
Hafiz Nafiah pula dikekalkan sebagai Setiausaha Agung, manakala Zarina Md Nor dilantik sebagai Bendahari. Jawatan Penolong Setiausaha Agung dimenangi Salman Al Farisi tanpa bertanding.
Bagi posisi Pemeriksa Kira-Kira, Sharifah Mohamad dan Samsuri Samsudin terus diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab tersebut.
Selain itu, tujuh Ahli Jawatankuasa turut dipilih bagi melengkapkan barisan kepimpinan baharu SENIMAN, iaitu Datuk Subash Sundaramoorthy, Lisdawati, Zizan Nin, Marissa Yasmin, Datuk Fizz Fairuz, Datuk Zamshuri dan Ezlynn Ariffin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








