BERITA SEMASALUAR NEGARA

Rubio pertahan dakwaan perang Iran-AS sudah berakhir

WASHINGTON – Dakwaan Amerika Syarikat (AS) bahawa konflik dengan Iran telah berakhir dipersoal apabila serangan yang dikaitkan dengan Tehran masih berlaku di beberapa negara Timur Tengah, termasuk serangan ke atas Kuwait yang mengorbankan seorang individu, semalam.

Bagaimanapun, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, mempertahankan pendirian Washington bahawa perang tersebut telah tamat selepas Operasi Epic Fury berjaya mencapai semua objektif ketenteraan yang ditetapkan.

Ketika memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Perwakilan AS, Rubio berkata, operasi berkenaan tidak lagi melibatkan serangan berterusan ke dalam wilayah Iran kerana matlamat utama sudah dicapai.

Menurut beliau, kejayaan itu merangkumi kemusnahan sebahagian besar industri pertahanan Iran, pengurangan ketara jumlah pelancar peluru berpandu dan stok dron negara itu, selain melumpuhkan baki aset tentera udara serta armada laut konvensional Tehran.

“Kami mencapai semua objektif yang ditetapkan dan oleh itu operasi telah berakhir,” katanya.

Operasi Epic Fury yang dilancarkan bersama Israel pada 28 Februari lalu mencetuskan ketegangan serantau apabila Iran bertindak balas dengan menyerang kepentingan dan sekutu AS di Timur Tengah serta menyekat Selat Hormuz, laluan strategik bagi perdagangan minyak dan gas dunia.

Namun, kenyataan Rubio itu menerima bantahan daripada beberapa wakil Parti Demokrat yang menegaskan konflik tersebut masih belum berakhir.

Mereka merujuk kepada serangan Iran ke atas Lapangan Terbang Kuwait yang menyebabkan seorang maut dan 63 lagi cedera sebagai bukti bahawa ancaman keselamatan di rantau berkenaan masih berterusan.

Dalam pada itu, Rubio berkata usaha diplomatik dengan Iran kini tertumpu kepada isu program nuklear negara itu, khususnya simpanan uranium diperkaya tahap tinggi yang masih dimiliki Tehran.

Beliau berkata, Iran setakat ini belum bersetuju untuk menandatangani perjanjian damai, manakala Washington menegaskan beberapa syarat perlu dipenuhi terlebih dahulu termasuk penyerahan stok uranium yang hampir mencapai tahap gred senjata, sekatan terhadap aktiviti nuklear dan pembukaan semula Selat Hormuz.

Menurut Rubio, langkah-langkah tersebut dianggap penting bagi memastikan kestabilan jangka panjang di rantau Timur Tengah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button