BERITA SEMASALUAR NEGARA

Iran dakwa serang puluhan sasaran strategik Israel

TEHRAN – Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dalam satu kenyataan mendakwa berjaya menyerang puluhan sasaran strategik milik Israel, termasuk pangkalan tentera, pusat risikan dan lokasi pengeluaran senjata di negara haram itu.

Menurut kenyataan itu, imej satelit dan maklumat risikan menunjukkan serangan tersebut mencapai sasarannya meskipun Israel mendakwa berjaya memintas peluru berpandu yang dilancarkan.

“Imej satelit dan data perisikan membuktikan puluhan lokasi strategik berjaya disasarkan dengan tepat, walaupun pihak musuh mendakwa telah memintas sebahagian serangan,” menurut kenyataan IRGC.

Rakaman yang dikongsi penduduk Israel turut menunjukkan kerosakan di beberapa kawasan di Tel Aviv, manakala pelabuhan Haifa turut menjadi sasaran.

Dalam pada itu, pegawai Iran memaklumkan bahawa gelombang serangan baharu akan dilancarkan dalam beberapa jam akan datang oleh kumpulan-kumpulan penentang yang bersekutu di rantau ini.

Sementara itu, laporan menyebut bahawa Amerika Syarikat, Perancis, Britain dan NATO turut membantu Israel dalam usaha memintas serangan Iran, namun hasilnya dikatakan tidak mencapai tahap keberkesanan yang diharapkan.

Serangan besar-besaran itu berlaku serentak dengan ucapan Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei, yang berikrar bahawa Angkatan Tentera Iran akan melumpuhkan Israel.

“Sudah pasti, Angkatan Tentera Republik Islam akan memberikan tamparan hebat kepada musuh yang jahat,” tegas Khamenei.

Sebelum operasi itu dimulakan, Ketua Pasukan Darat IRGC, Jeneral Mohammad Pakpour memberi amaran bahawa tindak balas Iran akan membuka “pintu neraka” buat Israel.

Dalam perkembangan berkaitan, fasiliti nuklear utama Iran yang terletak di wilayah Esfahan turut diserang beberapa kali oleh Israel pada hari Jumaat.
Iran pula mendakwa berjaya menembak jatuh sekurang-kurangnya dua jet pejuang F-35 milik Israel menggunakan sistem pertahanan udaranya dengan seorang juruterbang dilaporkan ditangkap.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button