PU Rahmat kongsi detik dibogelkan tiga kali dalam tahanan Israel
KUALA LJMPUR – Pendakwah dan aktivis kemanusiaan, PU Rahmat berkongsi pengalaman getir ketika ditahan oleh pihak berkuasa Israel selepas penyertaan beliau dalam misi Global Sumud Flotilla baru-baru ini.
Menurut Rahmat, beliau bersama sukarelawan lain berdepan pelbagai bentuk layanan kasar dan provokasi, termasuk dirinya yang dibogelkan sebanyak tiga kali semasa proses pemeriksaan oleh pihak berkuasa rejim berkenaan.
“Saya tak malu nak cakap, sebab kita semua lahir dalam keadaan bogel dan akan mati dalam keadaan bogel. Tapi mereka (tentera Israel) melampau, tiga kali saya dibogelkan,” katanya dalam satu temu bual selepas dibebaskan.
Katanya, insiden itu berlaku ketika beliau berada di atas kapal, di pusat imigresen, dan seterusnya di dalam penjara.
“Mereka takut dengan kami. Walaupun bukan tentera, tapi nampak mereka sangat berhati-hati, seolah-olah ketakutan dengan bayang-bayang sendiri,” katanya lagi.
Rahmat turut menceritakan bagaimana beliau disoal siasat mengenai pergerakan Hamas dan Ikhwanul Muslimin, namun menjawab dengan tenang dan bersahaja.
“Saya buat lawak saja, mereka tanya saya kenal Hamas, saya kata saya kenal Hummus. Mereka tanya pasal Ikhwan, saya kata saya baca Al-Quran, “Innamal mu’minuna ikhwa(h)” maknanya sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara,” katanya lagi.
Tambahnya, antara yang cuba memprovokasi mereka ialah seorang menteri Israel, namun apabila disindir balik oleh para aktivis dengan laungan “Free Palestine”, menteri berkenaan dilihat meninggalkan tempat itu dengan tergesa-gesa.
“Mereka sebenarnya bangsa yang hidup dalam ketakutan kerana mereka tahu apa yang mereka lakukan itu salah. Orang yang bersalah memang akan hidup dalam takut,” katanya lagi.
Rahmat berkata pengalaman itu tidak mematahkan semangatnya, sebaliknya menguatkan tekad untuk terus memperjuangkan kebenaran dan nasib rakyat Palestin.
“Alhamdulillah, kita berada di pihak yang benar. Semoga kita semua terus teguh di jalan ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








