BERITA SEMASALUAR NEGARA

Kematian komander elit Iran, IRGC ikrar balas dendam

TEHRAN – Ketua Pusat Komando Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Mejar Jeneral Ali Shadmani disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya dalam serangan udara Israel minggu lalu di Tehran.

Media Iran melaporkan, Shadmani yang juga komander tertinggi tentera Iran ketika konflik terbunuh dalam serangan ke atas sebuah pusat komando di tengah-tengah ibu negara Iran dalam serangan tentera Israel pada 17 Jun lalu.

Shadmani sebelum ini menggantikan Jeneral Gholam Ali Rashid yang terbunuh dalam serangan awal Israel, dikenali sebagai Operasi “Rising Lion” yang menandakan permulaan perang kedua-dua negara.

Menurut laporan agensi berita Tasnim, selepas pemergian Rashid, Shadmani dilantik mengetuai Markas Pusat Khatam al-Anbia iaitu sebuah entiti penting yang bertanggungjawab mengurus operasi ketenteraan dan merancang penggunaan kekuatan tempur Iran.

Tentera Pertahanan Israel (IDF) dalam kenyataannya berkata, Shadmani merupakan individu paling hampir dengan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Komander Kecemasan Angkatan Tentera Iran yang merangkumi kedua-dua IRGC dan tentera konvensional Iran.

“Pada permulaan operasi, Shadmani telah dilantik sebagai komander utama angkatan bersenjata Iran setelah Rashid terbunuh dalam serangan pertama,” menurut kenyataan IDF.

Pemimpin Tertinggi Iran sebelum ini menaikkan pangkat Shadmani ke pangkat Mejar Jeneral dan mengarahkan beliau agar memperkukuh strategi ketenteraan negara serta meningkatkan kesiapsiagaan tentera Iran dalam menghadapi ancaman serantau dan global.

Susulan kematian beliau, IRGC berikrar akan membalas dendam atas kematian salah seorang tokoh paling kanan dalam kepimpinan ketenteraan Iran itu.

Perkembangan ini berlaku ketika satu gencatan senjata yang dicadangkan Amerika Syarikat baru sahaja dikuatkuasakan selepas 12 hari pertempuran sengit antara Iran dan Israel.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam kenyataan terbarunya menyatakan bahawa Israel tidak akan meneruskan serangan ke atas Iran dan Tehran pula bersetuju untuk tidak membangunkan semula program nuklearnya.

Namun begitu, kematian Shadmani dilihat bakal menguji ketahanan gencatan senjata yang baru diumumkan itu, sekali gus berpotensi mengheret semula rantau Asia Barat ke kancah ketegangan bersenjata.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button