BERITA SEMASALUAR NEGARA

36 maut, protes merebak ke 92 bandar di Iran

TEHERAN – Sekurang-kurangnya 36 orang dilaporkan terbunuh dalam gelombang bantahan yang masuk hari ke 10 dan merebak ke seluruh Iran, menurut kumpulan hak asasi manusia yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia (Hrana) memaklumkan, angka korban merangkumi sekurang-kurangnya 34 penunjuk perasaan dan dua anggota pasukan keselamatan sejak pergolakan bermula pada 28 Disember lalu.

Menurut laporan itu, empat daripada mangsa yang maut berusia bawah 18 tahun, manakala berpuluh-puluh lagi cedera, kebanyakannya akibat terkena tembakan.

Bantahan kini direkodkan di 285 lokasi merentasi 92 bandar di 27 wilayah, dengan lebih 2,000 individu ditahan oleh pasukan keselamatan setakat ini.

Hrana turut melaporkan tindakan keras diperluaskan ke hospital dan pusat perubatan di Ilam serta Teheran, termasuk ke atas kemudahan yang merawat penunjuk perasaan cedera, berdasarkan keterangan saksi dan rakaman video diperoleh agensi berita Iran International.

Perkembangan paling ketara pada hari ke-10 ialah penyertaan meluas peniaga bazar dalam bantahan, khususnya di Mashhad dan Bazar Besar Teheran, apabila sebahagian besar kedai ditutup sepenuhnya atau sebahagiannya.

Walaupun kehadiran pasukan keselamatan dipertingkat di hab komersial utama dan beberapa perhimpunan disekat, protes berkenaan tetap mengganggu kegiatan ekonomi harian.

Pemantau hak asasi turut mendokumentasikan peningkatan kekerasan oleh unit keselamatan, termasuk penggunaan peluru pelet, gas pemedih mata serta serangan langsung ke atas penunjuk perasaan, sambil menyatakan angka kematian rasmi bercanggah dengan keterangan saksi di lapangan.

Wilayah Ilam di barat Iran, yang majoritinya penduduk Kurdi, kekal menjadi antara titik panas apabila pengebumian seorang penunjuk perasaan di Malekshahi pada 6 Januari bertukar menjadi protes antipemerintah besar-besaran.

Di Abdanan, penunjuk perasaan turut membanjiri jalanan dengan laungan menentang kepimpinan negara.

Tujuh parti pembangkang Kurdi Iran dalam satu kenyataan bersama menyeru mogok umum pada 8 Januari sebagai sokongan kepada bantahan nasional dan mengecam apa yang mereka sifatkan sebagai “jenayah rejim” di Kermanshah, Ilam dan Lorestan, selain mengutuk penahanan serta tindakan keras terhadap penunjuk perasaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button