PRN Negeri Sembilan: Politik khidmat jadi tawaran utama Danish Nazran di Chembong
REMBAU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong, Danish Nazran Murad menjadikan politik khidmat sebagai tawaran utama kepada pengundi dengan memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat di peringkat akar umbi.
Beliau berkata, pendekatan tersebut akan diteruskan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan khususnya dalam menyantuni penduduk dan memahami isu yang dihadapi di setiap lokaliti.
“Apa yang saya tawarkan kepada pengundi DUN Chembong ialah politik khidmat dan apa yang akan saya lakukan selepas pilihan raya iaitu menyantuni serta mendalami masalah-masalah yang berlaku di lokaliti-lokaliti dan bagaimana membantu menyelesaikan masalah tersebut,” katanya kepada Malaysia Tribune ketika sesi Walkabout di Rumah Rakyat Pedas, di sini hari ini.

Mengulas perkembangan kempen yang memasuki hari kelapan, Danish Nazran berkata sambutan diterima daripada masyarakat setempat setakat ini amat menggalakkan.
“Alhamdulillah, setakat hari ini saya boleh katakan maklum balas yang diterima secara keseluruhan adalah positif daripada masyarakat setempat.
“Walaupun ada satu dua pihak yang mungkin tidak menyokong, itu adalah sebahagian daripada proses demokrasi dan usaha kita untuk mendapatkan sokongan pengundi,” katanya.
Sebagai calon muda, Danish Nazran berkata beliau mahu membawa agenda yang dekat dengan generasi muda sambil memastikan kebajikan golongan lain tidak terpinggir.
“Saya cuba membawa agenda anak muda dan bagaimana bersama-sama anak muda di Chembong untuk membangunkan kawasan ini.
“Pada masa sama, saya tidak meninggalkan suara golongan lain. Kita mahu membantu semua lapisan masyarakat dan menunjukkan platform yang boleh dimanfaatkan untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Beliau turut menggesa pengundi keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian, 1 Ogos nanti.
“Kepada para pengundi DUN Chembong, keluar mengundi adalah tanggungjawab sebagai rakyat dalam pesta demokrasi negara kita.
“Yang paling penting, keluarlah mengundi dan saya berharap pengundi memberi sokongan kepada saya sebagai calon Pakatan Harapan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















