Albert Tei umum tarik diri, beri sokongan penuh kepada calon BN
SEREMBAN – Ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei hari ini mengumumkan menarik diri daripada bertanding sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Albert atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing, 37 berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, semalam.
“Semalam saya telah berjumpa dengan Datuk Seri Wee Ka Siong (Presiden MCA). Selepas perbincangan dengan beliau, saya membuat keputusan untuk tarik diri bertanding di DUN Chennah, Negeri Sembilan melawan Anthony Loke, Ketua Pemimpin DAP.
“Saya menyokong penuh calon MCA BN, John Siow untuk bertanding di kerusi tersebut kerana saya telah membuat saringan bahawa beliau merupakan seorang yang berjiwa rakyat serta berkredibiliti menggalas amanah tersebut,” katanya dalam satu hantaran di Facebook Reformati Studio “Albert Tei”, hari ini.
Menurut Albert, dia juga akan turun berkempen bagi mendatangkan kemenangan kepada calon BN itu sepanjang tempoh kempen bermula 18 hingga 31 Julai nanti.
“Saya juga telah memaklumkan kepada John Siow bahawa saya akan berdiri di sebelahnya pada hari penamaan calon pada 18 Julai ini dan berjanji melakukan segala yang termampu untuk membantu BN menggulingkan Anthony Loke di DUN Chennah dan menumbangkan Pakatan Harapan di Negeri Sembilan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








