Tuduhan Albert Tei tidak berasas – Azam Baki
KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyifatkan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan kertas siasatan berhubung aduan terhadapnya sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) sebagai bukti bahawa tuduhan dibuat terhadapnya adalah tidak berasas.
Beliau berkata, keputusan itu sekali gus mengesahkan dakwaan oleh ahli perniagaan, Tei Jiann Cheing atau Albert Tei sebelum ini tidak mempunyai asas kukuh serta bercanggah dengan fakta dan bukti yang dikumpulkan pihak berkuasa.
“Sebagai individu yang diamanahkan untuk memimpin SPRM ketika itu, saya terpaksa bersabar berdepan pelbagai persepsi negatif susulan tuduhan berkenaan.
“Walaupun saya mempertahankan diri, terdapat pihak tertentu yang bersikap anti terhadap saya dan SPRM yang tidak mahu menerima penjelasan diberikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan AGC memaklumkan keputusan NFA dibuat selepas penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan berhubung aduan berkenaan.
Azam berkata, beliau bersyukur kerana kebenaran akhirnya terbukti dan menegaskan dakwaan dibuat terhadapnya dipercayai didalangi pihak tertentu bagi memburukkan imej agensi penguat kuasa serta kerajaan.
Menurutnya, beliau tidak menafikan berdepan kecaman dan kritikan pada peringkat awal namun tetap yakin berada di pihak yang benar.
“Perkara ini juga harus menjadi pengajaran kepada semua pegawai penguat kuasa supaya terus menjalankan tugas dengan integriti tanpa dipengaruhi tekanan atau kempen persepsi,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















