‘Kalau bukan alamat di Negeri Sembilan, dia tak boleh bertanding’ – Anthony Loke
SEREMBAN – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengingatkan ahli perniagaan, Albert Tei supaya menukar alamat dalam kad pengenalannya terlebih dahulu sekiranya mahu bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Memetik laporan SH Online, Anthony berkata, sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi, sesiapa sahaja berhak menawarkan diri sebagai calon, tetapi perlulah mematuhi syarat-syarat ditetapkan.
“Kita negara demokrasi. Siapa-siapa nak jadi calon, silakanlah. Itu hak masing-masing.
“Cuma saya nak ingatkan, tukar alamat dulu. Kalau bukan alamat di Negeri Sembilan, dia tak boleh bertanding,” katanya ketika ditemui selepas hadir selepas majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen(B2) Peringkat Negeri Sembilan, di sini hari ini.
Anthony yang juga Menteri Pengangkutan berkata, beliau tidak kisah sesiapa pun yang mahu bertanding di situ kerana tumpuannya adalah untuk terus menjalankan tanggungjawabnya kepada pengundi di DUN terbabit dengan lebih baik.
“Saya punya fokus ialah kepada kerja saya, kepada rakyat dan pengundi Chennah yang telah saya wakili selama tiga penggal. Jadi siapa-siapa nak bertanding, silakanlah,” katanya.
Terdahulu, Albert Tei tidak menolak kemungkinan beliau bertanding pada PRN Negeri Sembilan dan berdepan dengan Anthony bagi merebut kerusi DUN Chennah.
Sementara itu, ditanya berkenaan suasana kempen PRN Johor, Anthony berkata, suasana kempen setakat ini berjalan lancar tanpa sebarang provokasi dan insiden tidak diingini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















