Anwar mohon mandat lebih kukuh buat PH di Negeri Sembilan
KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, memohon kepercayaan rakyat Negeri Sembilan untuk memberikan mandat lebih kukuh kepada gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi memastikan kesinambungan pentadbiran yang bersih, stabil dan berintegriti di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook berkata, sejak 2018 kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai usaha demi kepentingan rakyat, namun masih banyak agenda pembangunan dan kebajikan yang perlu diteruskan supaya manfaatnya dapat dinikmati seluruh rakyat negeri itu.
“Dengan penuh rendah diri, saya memohon pertimbangan dan kepercayaan rakyat Negeri Sembilan untuk memberikan mandat yang lebih kukuh kepada HARAPAN demi kesinambungan pentadbiran yang bersih, stabil dan berintegriti di bawah pimpinan saudara Aminuddin Harun,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar semua calon PH dikurniakan kekuatan, dipermudah segala urusan dan diberikan kejayaan pada pilihan raya berkenaan.
“Semoga semua calon PH dikurniakan kekuatan, dipermudah segala urusan dan diberikan kejayaan yang terbaik. Kepada Allah SWT kita berserah,” katanya.
Dalam hantaran sama, Anwar turut mengingatkan kepentingan saling membantu dalam melakukan kebajikan dan ketakwaan sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah ayat 2.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 103 calon disahkan bertanding pada PRN Negeri Sembilan ke-16 bagi merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas proses penamaan calon selesai hari ini.
PH menjadi satu-satunya gabungan yang bertanding di semua 36 kerusi DUN, termasuk mempertaruhkan Aminuddin di DUN Linggi.
Barisan Nasional (BN) pula meletakkan 25 calon, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 24 calon dan Perikatan Nasional (PN) 11 calon.
Turut bertanding ialah Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang masing-masing mempertaruhkan seorang calon, selain empat calon Bebas.
PRN Negeri Sembilan diadakan susulan pembubaran DUN pada 5 Jun lalu, dengan hari pengundian ditetapkan pada 1 Ogos, manakala pengundian awal berlangsung pada 28 Julai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















