Pelaburan RM285.2 bilion beri manfaat kepada rakyat, cipta peluang pekerjaan berkualiti – PM
KUALA LUMPUR – Pelaburan yang dibawa masuk oleh Kerajaan MADANI bukan sekadar memacu pertumbuhan ekonomi, sebaliknya diterjemahkan kepada manfaat sebenar untuk rakyat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Merujuk kepada prestasi Malaysia menarik pelaburan diluluskan berjumlah RM285.2 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025, Perdana Menteri berkata, prestasi itu
meningkat 13.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Inilah komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan setiap pelaburan memberi pulangan kepada rakyat hari ini dan masa depan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam kenyataan sama, Anwar berkata, pelaburan itu berperanan penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti dan meningkatkan pendapatan rakyat.
“Ia mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan hidup, serta membina kuasa ekonomi baharu yang lebih berdaya saing dan inklusif,” katanya.

Pada November lalu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam kenyataan memaklumkan pencapaian kukuh itu dicatatkan pada ketika ketegangan geopolitik dan perdagangan, gangguan rantaian bekalan serta keadaan monetari yang lebih ketat menjejaskan aliran pelaburan di kebanyakan pasaran lain, sekali gus menonjolkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.
Menurut kenyataan itu, sebanyak 4,874 projek yang diluluskan merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan dan primer.
Kelulusan itu dijangka mewujudkan 152,766 peluang pekerjaan baharu, menggambarkan skala dan kepelbagaian sektor minat pelabur terhadap ekonomi Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








