Syed Saddiq ditawar semula jawatan Presiden MUDA
KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menawarkan semula jawatan Presiden kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan beliau daripada empat pertuduhan kes salah guna kuasa.
Pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz, memaklumkan bahawa keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) yang diadakan semalam.
Jelas beliau, tawaran tersebut dibuat berdasarkan dua prinsip utama iaitu Syed Saddiq telah membersihkan nama dan integritinya melalui proses mahkamah dan konsisten mempertahankan maruah serta nama baik parti sepanjang tempoh pendakwaan.
“Jawatan Presiden MUDA disandang Syed Saddiq dikosongkan dan dipangku oleh saya, sepanjang proses mahkamah berlangsung.
“Saya juga perlu merekodkan keputusan parti mengosongkan kerusi sepanjang proses pendakwaan adalah iltizam politik yang tidak pernah lagi dibuat mana-mana pemimpin politik Malaysia yang sedang didakwa di mahkamah.
“JKEP berpandangan, dengan kembalinya Syed Saddiq dalam tampuk kepemimpinan parti, beliau dapat mengukuhkan parti, terutama dalam usaha mengemudi MUDA bagi menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
Keputusan Mahkamah Rayuan pada Selasa menyaksikan Syed Saddiq dibebaskan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa beliau secara tidak jujur menyebabkan keuntungan haram dan kerugian kepada ARMADA BERSATU.
Amira turut menegaskan bahawa JKEP menghormati keputusan peribadi Syed Saddiq untuk mempertimbangkan tawaran itu dan bersedia memberikan ruang yang secukupnya.
Katanya lagi, parti akan terus menyokong beliau dan menyeru rakyat agar sama-sama mendoakan kelancaran perjalanan MUDA dalam usaha membina sebuah negara yang lebih baik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







