POLITIK

Pemilihan MUDA: Syed Saddiq tidak bertanding kerana kes mahkamah masih berjalan

CYBERJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu, keputusannya untuk tidak bertanding dalam pemilihan sulung parti MUDA adalah disebabkan kes mahkamah yang dihadapinya masih berjalan.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, beliau tidak mahu pertuduhan yang dihadapinya menghalang parti yang diasaskannya itu daripada terus maju ke hadapan.

“Saya mengasaskan MUDA dengan kepercayaan yang mudah tetapi tegas bahawa politik mestilah bersih sebersih-bersihnya dan kepimpinan mestilah suci tanpa sebarang cela. Malaysia berhak memiliki institusi yang lebih kuat daripada mana-mana individu.

“Atas sebab itu dan alasan itu sahaja, saya memutuskan untuk tidak bertanding dalam pemilihan parti kali ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Syed Saddiq sebelum ini dilaporkan berkata, peletakan jawatan beliau selaku Presiden MUDA susulan pertuduhan tersebut adalah di atas dasar prinsip bahawa sesiapa yang memimpin parti dan beraspirasi untuk memimpin negara, mestilah seorang yang bersih.

Katanya, selagi namanya belum dibersihkan sepenuhnya, beliau tidak akan memegang sebarang jawatan dalam parti berkenaan.

Laporan media sebelum ini menyebut, pemilihan MUDA yang sekian lama tertangguh akan diadakan pada 14 Mac ini.

Parti MUDA ditubuhkan pada 2020 dengan Syed Saddiq sebagai presiden.

Bagaimanapun, pada 2021, beliau dituduh di mahkamah atas dakwaan bersubahat dalam jenayah pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram.

Selepas disabitkan oleh Mahkamah Tinggi pada 2023, beliau meletak jawatan sebagai presiden.

Jun tahun lepas, Mahkamah Rayuan sebulat suara membebaskan beliau daripada semua pertuduhan, sekali gus membatalkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, dan denda RM10 juta.

Susulan itu, pihak pendakwaan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button