Lelaki maut dirempuh pemandu kereta positif ganja
KUALA PILAH – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan pengaruh ganja di Kilometer 23, Jalan Seremban- Kuala Pilah, di sini malam tadi.
Nahas yang berlaku pada pukul 11.10 malam itu menyebabkan mangsa berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, kemalangan membabitkan kereta jenis Perodua Viva dan motosikal jenis Honda.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku ketika Perodua Viva dari arah Seremban menghala ke Felda Keratong, Rompin, Pahang.
“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu kereta dikatakan hilang kawalan dan masuk ke laluan motosikal yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mustafa, penunggang motosikal berkenaan dikatakan tidak sempat mengelak menyebabkan berlakunya perlanggaran.
“Akibat kemalangan ini, seorang lelaki berumur 28 tahun iaitu penunggang motosikal disahkan maut di lokasi kejadian manakala seorang lelaki berumur 23 tahun iaitu pemandu kereta mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Jelas beliau, hasil saringan awal air kencing ke atas pemandu kereta mendapati lelaki itu positif dadah jenis THC atau kanabis dan ditahan bagi siasatan lanjut oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kuala Pilah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








