Semua sekolah di bawah 10 PPD di Sarawak diarah tutup susulan IPU cecah paras tidak sihat
KUCHING – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak memaklumkan semua sekolah di bawah seliaan 10 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negeri itu ditutup berkuat kuasa serta-merta hari ini hingga 21 Ogos, susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras tidak sihat di beberapa lokasi.
JPN Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan, penutupan itu membabitkan sekolah di bawah seliaan PPD Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Serian, Sri Aman, Lubok Antu dan Betong.
“Berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan setakat jam 3.00 petang, dimaklumkan bahawa penutupan sementara semua institusi pendidikan di bawah seliaan 10 buah pejabat pendidikan daerah (PPD)berkuat kuasa serta merta pada 20 hingga 21 Ogos 2026,” kata kenyataan itu, hari ini.
Kenyataan itu memaklumkan, sebanyak 509 sekolah rendah dengan 107,590 murid serta 82 sekolah menengah membabitkan 89,733 murid terlibat.
Langkah itu katanya diambil bagi mengutamakan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid serta warga institusi pendidikan, terutama ketika berdepan keadaan cuaca panas dan jerebu.
“JPN Sarawak mengambil berat kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga institusi pendidikan dan akan terus memantau perkembangan keadaan semasa,” katanya.
Institusi pendidikan turut diingatkan mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan serta merujuk garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia berkaitan pengurusan sekolah dalam keadaan berjerebu dan cuaca panas.
JPN Sarawak juga menasihatkan semua institusi pendidikan supaya memantau bacaan IPU melalui Air Pollutant Index Management System (APIMS) serta mematuhi saranan Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa.
Sebarang perubahan atau maklumat terkini berkaitan penutupan dan pembukaan semula institusi pendidikan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








