BERITA SEMASA

PIBG MCKK kesal kes buli ditularkan

KUALA KANGSAR – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), menzahirkan rasa kesal terhadap penularan kes buli membabitkan pelajar sekolah itu baru-baru ini.

Menurut PIBG MCKK, penularan kes tersebut yang dibuat oleh ahli keluarga mangsa buli itu telah memberi kesan besar kepada imej sekolah itu.

“Tindakan penularan ini dilihat telah memberi impak besar dan membawa imej buruk kepada MCKK secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook PIBG MCKK semalam.

Kelmarin, media melaporkan polis menyiasat kejadian buli membabitkan pelajar Tingkatan Empat dan Lima sebuah sekolah berasrama penuh di sini, berpandukan hantaran yang dikesan tular di media sosial.

Kes buli itu difahamkan membabitkan tiga mangsa pelajar Tingkatan 4 dan empat pelajar Tingkatan 5 sekolah berkenaan, dengan ada di antara mangsa buli terbabit terpaksa dirujuk ke Hospital Kuala Kangsar untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan.

Turut tular ialah sepucuk surat rayuan terhadap keputusan hukuman disiplin terhadap pembuli terbabit, yang dikatakan hanya diminta berkelakuan baik, dirotan dan membuat kerja amal di sekolah berbanding tindakan tegas seperti buang sekolah.

Semalam, MCKK turut ‘trending’ di laman sosial X (dahulunya Twitter) susulan hantaran tular berhubung kes buli itu.

Rata-rata pengguna X meminta agar Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek campur tangan dalam kes tersebut bagi mendapatkan keadilan buat mangsa buli itu.

Tambah PIBG MCKK, pihaknya ambil maklum berhubung kes disiplin membabitkan buli itu sudah selesai disiasat dan diambil tindakan oleh pihak sekolah.

“Kami mengambil maklum ancaman penularan kes ini melalui surat yang diutuskan oleh sekumpulan ibu bapa murid Tingkatan 4 sekiranya keputusan dan tindakan semasa pihak sekolah ke atas murid yang terbabit tidak diubah.

“PIBG MCKK menyelar cubaan campur tangan ibu bapa terbabit di dalam pengurusan sekolah ini. Dalam hal yang berkaitan, PIBG menghormati pendirian pihak sekolah dan Tuan Pengetua yang tidak tunduk kepada ancaman sekumpulan ibu bapa murid Tingkatan 4.

“PIBG yakin kes ini akan memberi pengajaran kepada ibu bapa lain supaya tindak mencampuri urusan sekolah,” ujarnya. 

Tambah kenyataan itu lagi, PIBG MCKK juga ada menerima laporan mengenai murid-murid MCKK yang diherdik dan dihalau dari premis makanan sekitar bandar ini dan ‘dicop’ (dianggap) sebagai pembuli.

“PIBG memandang serius perkara ini dan memikirkan risiko kemungkinan diserang dan diganggu oleh pihak luar yang cuba mengambil kesempatan daripada isu ini,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button