BERITA SEMASA

Sekolah boleh ditutup sementara jika suhu melebihi 37 darjah Celcius selama tiga hari

GOPENG – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membenarkan sekolah ditutup sementara sekiranya suhu harian melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut bagi melindungi kesihatan murid dan warga sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, langkah itu selaras dengan garis panduan pengendalian cuaca panas yang telah dikuatkuasakan sejak 2023.

Menurut beliau, pihak pentadbir sekolah termasuk pengetua dan guru besar diingatkan supaya sentiasa memantau bacaan suhu harian, selain bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

“Kita percaya JPN, PPD dan pihak sekolah mempunyai pengalaman mencukupi dalam menangani situasi cuaca panas yang berlaku setiap tahun,” katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gopeng, di sini hari ini.

Beliau berkata, garis panduan tersebut turut menetapkan bahawa semua aktiviti luar perlu dihentikan sekiranya suhu berada pada Tahap Amaran 1, iaitu antara 35 hingga 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

“Antara aktiviti yang perlu dihentikan termasuk merentas desa, perkhemahan, kawat, sukan dan sebarang aktiviti luar bangunan bagi mengelakkan risiko kesihatan kepada murid dan guru,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Dalam pada itu, mengulas cadangan supaya pelajar diwajibkan membawa botol air ke sekolah, Wong berkata, perkara tersebut diserahkan kepada kebijaksanaan pihak pentadbir sekolah untuk menilai keperluan dan memberi nasihat sewajarnya kepada pelajar.

“Pengetua dan guru besar lebih memahami situasi di sekolah masing-masing dan akan memainkan peranan dalam memastikan pelajar sentiasa menjaga kesihatan termasuk mengamalkan pengambilan air yang mencukupi,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button