HIBURAN

Penyelia muzik American Idol maut ditembak bersama suami

LOS ANGELES – Penyelia muzik rancangan realiti terkenal American Idol, Robin Kaye dan suaminya, Thomas Deluca, ditemui mati dalam keadaan tragis di kediaman mereka di Los Angeles, semalam.

Ketua Polis Los Angeles (LAPD) mengesahkan, pasangan berusia 70 tahun itu dipercayai maut akibat kecederaan akibat tembakan dan kes tersebut kini disiasat sebagai pembunuhan.

Menurut kenyataan polis, kejadian disedari selepas pihak berkuasa melakukan pemeriksaan di rumah pasangan terbabit pada hari kejadian susulan laporan daripada individu yang gagal menghubungi mereka.

“Ketika anggota tiba di lokasi mereka menemui seorang lelaki dan seorang wanita yang mengalami kecederaan tembakan.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan bomba,” kata jurucakap LAPD.

Setakat ini, motif kejadian masih belum diketahui namun seorang suspek telah ditahan bagi membantu siasatan.

Sumber polis memaklumkan kepada media tempatan bahawa kedua-dua mangsa dipercayai ditembak di kepala dan mayat mereka ditemui di bilik berasingan.

Tiada tanda pecah masuk atau rompakan dikesan di kediaman itu.

Difahamkan, pada 10 Julai lalu, polis pernah dihubungi salah seorang mangsa berhubung kehadiran seorang individu tidak dikenali yang cuba menceroboh rumah mangsa.

Namun, tiada kesan pencerobohan ditemui ketika itu dan polis beredar selepas membuat pemeriksaan.

Robin Kaye dikenali sebagai tokoh penting dalam produksi muzik televisyen dan pernah bertugas sebagai penyelia muzik American Idol selama 15 musim.

Beliau turut terlibat dalam program popular seperti Lip Sync Battle serta beberapa acara berprestij termasuk Miss Universe, Miss USA dan NAACP Image Awards.

Berita kematian beliau mendapat reaksi daripada pihak produksi American Idol yang menyifatkan kehilangan itu sebagai amat mengejutkan.

“Kami amat berdukacita atas pemergian Robin dan suaminya, Tom. Robin telah menjadi tunjang utama keluarga Idol sejak 2009 dan dihormati oleh semua yang pernah bekerjasama dengannya.

“Kami ucapkan takziah kepada keluarga dan rakan-rakannya,” menurut kenyataan dipetik media antarabangsa.

Polis masih meneruskan siasatan dan tidak menolak kemungkinan kejadian pencerobohan pada 10 Julai itu mempunyai kaitan dengan pembunuhan tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button