Polis tahan 6 remaja kes serangan bersenjata
KUANTAN – Enam remaja ditahan susulan kejadian serangan bersenjata yang menyebabkan dua individu parah di premis perniagaan di Jalan Air Putih, di sini, pada 10 Ogos lalu.
Kedua-dua mangsa lelaki berusia 17 dan 19 tahun, kini menerima rawatan di sebuah hospital di sini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, mangsa membuat laporan polis mendakwa mereka diserang sekumpulan lelaki kira-kira 2 pagi.
“Mangsa diserang dengan kayu dan batang besi. Sebuah kereta Toyota Vios milik salah seorang mangsa turut rosak dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ashari berkata, bertindak atas maklumat itu, polis menahan seorang suspek di Alor Akar, di sini, kira-kira 2 petang keesokan harinya, sebelum lima lagi remaja ditahan berhampiran gelanggang bola keranjang di Bukit Setongkol di sini beberapa jam kemudian.
Beliau berkata, siasatan awal mendedahkan kejadian dipercayai berpunca daripada ugutan oleh salah seorang remaja terbabit untuk membakar kelab sukan.
Ashari berkata, keenam-enam suspek direman sehingga 14 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu digesa tampil dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Siti Fatimah Mohd Said di talian 09-5652074 atau dengan hadir ke balai polis berhampiran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








