LUAR NEGARA

Iran serang pangkalan tentera AS di Bahrain sebagai tindak balas

TEHERAN – Iran mendakwa melancarkan serangan dron ke atas pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Bahrain awal pagi tadi sebagai tindak balas terhadap serangan Washington ke atas beberapa lokasi di republik Islam itu.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dalam satu kenyataan berkata, sasaran serangan ialah Armada Kelima Tentera Laut AS yang berpangkalan di Bahrain.

Menurut IRGC, tindakan itu diambil selepas AS melancarkan serangan terhadap beberapa kawasan di selatan Iran termasuk Jask, Sirik dan Pulau Qeshm.

“Rejim AS yang menghasut perang menyerang beberapa lokasi di Jask, Sirik dan Qeshm awal pagi ini dengan alasan palsu, menyebabkan kerosakan kepada infrastruktur awam termasuk tiang telekomunikasi di Sirik dan memusnahkan dua tangki air di bandar itu.

“Sebagai tindak balas terhadap tindakan agresif musuh, pejuang tentera laut IRGC melancarkan serangan dron ke atas Armada Kelima Tentera Laut AS di Bahrain pada pukul 2.30 pagi,” menurut kenyataan itu, memetik laporan berita antarabangsa.

IRGC turut memberi amaran bahawa Iran akan melancarkan tindakan balas yang lebih besar sekiranya serangan terhadap negara itu diteruskan.

Ketegangan antara kedua-dua negara memuncak selepas AS melancarkan serangan terhadap Iran pada Selasa susulan insiden sebuah helikopter tempur AH-64 Apache milik Tentera Darat AS ditembak jatuh sehari sebelumnya.

Presiden AS, Donald Trump sebelum ini mengesahkan Washington bertindak balas terhadap insiden tersebut dan menyifatkan operasi ketenteraan itu sebagai tindak balas yang ‘sangat kuat dan berkuasa’.

Menurut Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM), serangan terhadap Iran dilaksanakan sebagai tindak balas berkadaran terhadap tindakan yang disifatkan sebagai provokasi Teheran.

Helikopter Apache yang ditembak jatuh itu dilaporkan terhempas berhampiran pantai Oman selepas terkena tembakan ketika beroperasi di kawasan Teluk.

Kedua-dua kru pesawat berjaya diselamatkan dalam tempoh dua jam dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Insiden itu menjadikan Apache berkenaan pesawat kedua milik AS yang disahkan ditembak jatuh sepanjang konflik semasa selepas sebuah pesawat pejuang F-15 dilaporkan hilang pada April lalu.

Perkembangan terbaharu itu meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan konflik lebih besar di rantau Teluk, khususnya di sekitar Selat Hormuz yang menjadi laluan penting perdagangan minyak dunia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button