
KKM sahkan kluster baharu mpox libatkan empat sekeluarga
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan penemuan satu kluster baharu mpox membabitkan empat sekeluarga, dengan kes indeks seorang lelaki bukan warganegara yang mempunyai sejarah perjalanan ke Afrika Barat.
Menurut kenyataan KKM, pesakit mula menunjukkan gejala pada 20 Oktober lalu dan disahkan positif mpox (Clade II) pada 12 November.
“Susulan itu, tiga ahli keluarga serumah turut bergejala pada 30 Oktober dan disahkan positif pada 13 November.
“Kesemua pesakit berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani pengasingan di rumah.
“Semua kontak rapat telah dikenal pasti, disaring dan diarahkan menjalani pengasingan. Penularan hanya terhad dalam kalangan ahli keluarga dan situasi kluster adalah terkawal,” menurut kenyataan itu hari ini.
Setakat minggu epidemiologi ke-46 (ME 46/2025), sebanyak 12 kes mpox dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif di Malaysia sebanyak 23 kes sejak Julai 2023.
Daripada jumlah itu, 22 kes melibatkan Clade II dan satu kes Clade Ib.
KKM berkata, walaupun status mpox sebagai Public Health Emergency of International Concern (PHEIC) telah tamat pada 5 September lalu, pemantauan berterusan akan diteruskan.
“Orang ramai disaran mengamalkan langkah pencegahan termasuk mengelak sentuhan dengan individu bergejala serta mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami demam, ruam lepuh atau bengkak kelenjar limfa,” katanya lagi.
Mpox ialah jangkitan yang disebabkan virus monkeypox, sebahagian daripada genus Orthopoxvirus.
Penularan berlaku melalui sentuhan rapat dengan pesakit, hubungan seksual, atau permukaan dan objek tercemar cecair badan pesakit.
Penyakit itu boleh menjadi lebih serius bagi kanak-kanak, wanita hamil dan individu berimuniti rendah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








