BERITA SEMASA

UMT, UPNM terima timbalan naib Canselor baharu

PUTRAJAYA – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menerima Timbalan Naib Canselor (TNC) baharu bagi memperkukuh kepimpinan dan hala tuju universiti.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, Prof. Dr. Muhammad Ikhwanuddin Abdullah @ Polity Ak Kria dilantik sebagai TNC (Penyelidikan dan Inovasi) UMT berkuat kuasa 11 Ogos 2025, manakala Prof. Ts. Dr. Norhana Abdul Halim sebagai TNC (Akademik dan Antarabangsa) UPNM mulai 18 Ogos ini.

“Prof. Muhammad Ikhwanuddin mempunyai kepakaran dalam bidang Biologi Marin serta pengalaman luas menerajui projek penyelidikan berimpak tinggi.

“Beliau sebelum itu memimpin Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP) dan berjaya menjalin kerjasama dengan 21 universiti luar negara serta memperoleh geran penyelidikan RM4.7 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Prof. Norhana yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Fizik dan PhD dalam bidang Advanced Material dari Universiti Malaya, pernah membangunkan kurikulum pengajian asasi UPNM serta aktif dalam persidangan akademik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sepanjang berkhidmat di UPNM, beliau memegang pelbagai jawatan termasuk Ketua Jabatan, Timbalan Pengarah dan Pengarah Pusat Asasi Pertahanan.

Turut hadir pada majlis pengumuman pelantikan, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman.

Menurut KPT, pelantikan kedua-dua tokoh itu akan memperkukuh budaya ilmu dan melahirkan graduan berdaya saing serta pemikir strategik untuk pembangunan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button