Teknologi, keselamatan jadi tumpuan di Festival of Idea Putrajaya 2025
PUTRAJAYA – Penganjuran Festival of Ideas (FOI) Putrajaya 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) di sini selama lima hari sehingga 8 November ini bukan sekadar platform mempamerkan inovasi pelajar tempatan malah turut menarik penyertaan pelajar antarabangsa yang berkongsi pandangan dan aspirasi mereka terhadap kemajuan teknologi serta keselamatan sejagat.
Abdullah Ammar, pelajar dari Turkiye yang kini menuntut di Asia Pacific University (APU) dalam bidang keselamatan siber berkata, festival itu membuka ruang besar untuk pertukaran ilmu dan budaya antara pelajar dari pelbagai negara.

“Saya sangat suka suasana di sini yang meriah, penuh dengan pelbagai bangsa dan kebudayaan.
“Kita boleh dapat banyak manfaat dan idea baharu daripada pelbagai reruai yang ada. Terima kasih kepada Education Malaysia Global Services (EMGS) yang menyokong penyertaan pelajar dan universiti antarabangsa dalam acara ini,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Abdullah yang telah dua tahun menetap di Malaysia turut memuji kemajuan negara ini dalam bidang teknologi dan berharap wujud lebih banyak kerjasama dua hala antara Malaysia dan Turkiye.
“Malaysia semakin maju terutama dalam bidang teknologi. Saya fikir orang Malaysia juga boleh datang ke Turkiye untuk berkongsi dan mengambil idea. Itu perkara yang baik,” ujarnya.
Berkongsi tentang cita-citanya Abdullah berkata, beliau berhasrat menubuhkan sebuah syarikat keselamatan swasta bagi menyediakan perkhidmatan keselamatan kepada pelbagai organisasi tanpa bergantung kepada agensi kerajaan.

“Saya ingin menggalakkan generasi muda supaya memberi tumpuan kepada teknologi kerana dunia kini memerlukan kemajuan dalam bidang ini.
“Belajar daripada negara lain juga langkah yang baik untuk memperkukuh pembangunan keselamatan dan teknologi,” tambahnya.
Dalam pada itu, Pegawai Kadet Muhammad Amjad Amri, 21, dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) turut memperkenalkan teknologi gabungan antara ‘ground operation unit’ dan sistem dron taktikal di FOI 2025.

Katanya, sistem yang dibangunkan oleh UPNM itu memberi tumpuan kepada aplikasi pertahanan, pemantauan (surveillance) serta operasi mencari dan menyelamat (search and rescue).
“Pengunjung yang datang ke festival ini boleh melihat sendiri bagaimana sistem dron taktikal ini berfungsi dan bagaimana ia dapat membantu meningkatkan keupayaan operasi keselamatan serta misi menyelamat,” katanya.
Tambah beliau, sambutan terhadap pameran tersebut amat menggalakkan, khususnya dalam kalangan pelajar dan pengunjung muda yang berminat mendalami teknologi keselamatan.
FOI anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merupakan platform utama mengetengahkan kreativiti dan inovasi pelajar tempatan serta antarabangsa dalam pelbagai bidang, daripada teknologi keselamatan hinggalah kepada pembangunan sosial dan komuniti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







