Dari pengguna ke pencipta teknologi, UPNM jalin kerjasama strategik bersama syarikat pengeluar peluru berpandu
KUALA LUMPUR – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terus memperkukuh keupayaan akademik dan teknologinya menerusi kolaborasi strategik bersama Matra BAE Dynamics Alenia (MBDA).
Kolaborasi itu dibuat susulan termeterainya Perjanjian Kerjasama antara kedua-dua belah pihak pada 20 April lalu sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026.
Menurut UPNM dalam satu kenyataan, sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut, satu lawatan kerja Program Kolaboratif Antarabangsa (ICP) selama dua minggu akan diadakan di Eropah bermula 22 Jun hingga 3 Julai ini, melibatkan delegasi Profesor UPNM termasuk lima ahli akademik daripada Fakulti Kejuruteraan.
Katanya, inisiatif itu selaras secara langsung dengan Fasa 2 (2026-2027) Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang mementingkan kemajuan teknologi, pembinaan keupayaan tempatan dan pembangunan modal insan.
“Langkah strategik ini bertindak sebagai pemangkin utama untuk mentransformasikan industri pertahanan Malaysia daripada sekadar pengguna kepada pencipta teknologi dan pembekal tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan jangka panjang terhadap teknologi luar,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, menurut Dekan Fakulti Kejuruteraan UPNM, Profesor Madya Dr Mohd Taufik Jusoh, program itu melengkapi enam modul teknikal yang kini sedang dikendalikan oleh Pakar Rujuk Bidang (SME) daripada MBDA di bawah kerangka kerjasama kedua-dua pihak.
“Lawatan kerja ini memberi peluang unik kepada kakitangan akademik kami untuk mendapatkan pendedahan langsung terhadap ekosistem kejuruteraan dan pertahanan termaju di Eropah.
“Penguasaan pengetahuan teknologi (technology know-how) daripada peneraju global seperti MBDA ini sangat kritikal dalam memacu autonomi pertahanan negara.
“Langkah ini juga merupakan terjemahan komitmen UPNM yang sangat sejajar dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
“Melalui pemindahan ilmu pakar global ini, kita bukan sahaja memperkasakan fungsi UPNM sebagai universiti dan penyelidikan berfokus, malah memperkukuh kecemerlangan bakat akademik tempatan,” katanya.

Sementara itu katanya, impak pendedahan industri antarabangsa itu juga bakal memperkayakan kurikulum universiti, sekali gus melahirkan graduan berimpak tinggi yang bersedia untuk masa hadapan demi kemandirian negara.
Selain perkongsian teknikal, program itu turut membuka ruang jaringan kerja strategik dengan para pemimpin industri dan pakar teknologi global.
Penglibatan itu dijangka dapat memupuk kerjasama masa hadapan dalam bidang penyelidikan, pembangunan bakat, dan pertukaran ilmu yang akan memberi manfaat besar kepada UPNM serta sektor pertahanan dan pendidikan tinggi negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








