BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

Jangan hukum seluruh ATM akibat salah segelintir anggota – Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menegaskan adalah tidak adil untuk menyalahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara menyeluruh susulan penularan aktiviti tidak bermoral yang dikaitkan dengan budaya pesta ‘yeye’ di media sosial baru-baru ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia kerana, isu berkenaan hanya melibatkan pelanggaran peraturan oleh sebahagian kecil warga angkatan tersebut.

Beliau berkata, rakyat Malaysia perlu bersikap adil serta tidak membuat generalisasi bahawa semua anggota ATM terlibat dengan perbuatan sedemikian.

“Tidak adil untuk menyalahkan menyalahkan semua anggota ATM kerana sebahagian besar daripada mereka berkorban untuk negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan di Wisma Perwira di ibu negara hari ini.

Baca juga : Yeye MINDEF beri amaran, tidak akan kompromi budaya hedonisme keji

Mengulas mengenai isu yang berlaku di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, beliau berkata, tindakan telah diambil dan siasatan kini hampir selesai sebelum langkah selanjutnya dilaksanakan terhadap pihak terlibat.

Beliau menegaskan, larangan pengambilan minuman keras serta membawa tetamu bukan ahli keluarga ke dalam kem telah lama ditetapkan dan apa yang berlaku adalah pelanggaran peraturan, bukannya satu amalan yang berlaku secara meluas dalam ATM.

“Apa yang berlaku ini adalah orang melanggar peraturan. Bukan satu kegiatan yang memang berlaku secara meluas. Tetapi di media sosial, ia digambarkan seolah-olah ini satu budaya biasa dalam angkatan tentera,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, MINDEF juga telah menggariskan beberapa langkah penambahbaikan termasuk digitalisasi, aspek tadbir urus serta penubuhan satu badan khusus bagi membolehkan sebarang aduan dikemukakan secara rasmi untuk disiasat, dan bukan sekadar dibincangkan secara tidak bertanggungjawab.

“Kita memang tidak berkompromi dan tidak menerima apa-apa perbuatan rasuah. Kita akan memberi segala kerjasama kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan jika ada aduan yang tepat, dilaporkan dan berasas. Soal ini harus diberantas,” katanya.

Menurut beliau, tindakan tegas tetap akan diambil terhadap individu yang melanggar peraturan, namun sokongan rakyat amat diperlukan agar usaha penguatkuasaan dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan reputasi dan semangat majoriti anggota ATM yang berkorban untuk negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button