BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

Menteri Pertahanan sertai Forum Keselamatan Xiangshan di Beijing

BEIJING – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tiba di Beijing lewat malam tadi untuk lawatan kerja rasmi selama empat hari, bermula hari ini.

Lawatan itu merupakan kunjungan kerja pertama beliau ke China selepas dilantik ke jawatan berkenaan.

Sepanjang berada di Beijing, Mohamed Khaled dijadualkan menghadiri 12th Beijing Xiangshan Forum, sebuah forum keselamatan dan pertahanan berprofil tinggi di rantau Asia-Pasifik yang berlangsung dari 17 hingga 19 September.

Forum kali ke-12 itu menghimpunkan pemimpin serta delegasi dari lebih 100 negara dengan tema ‘Safeguarding the International Order and Promoting Peaceful Development Together’.

“Saya dijadualkan untuk menyampaikan pendirian dan pandangan negara berkaitan Strategic Mutual Trust and Security Cooperation in the Asia-Pacific Region semasa sesi pleno kedua pada Khamis,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Selain itu, beliau akan mengadakan pertemuan dua hala bersama beberapa pemimpin kanan China termasuk Menteri Pertahanan Nasional, Laksamana Dong Jun; Menteri Pembangunan Peralatan, Suruhanjaya Ketenteraan Pusat, Jeneral Xu Xueqiang serta Menteri Hal Ehwal Veteran, Pei Jinjia.

Mohamed Khaled juga dijangka bertemu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Nasional Kemboja, Jeneral Tea Seiha yang turut menghadiri forum tersebut.

Dalam kesempatan itu, beliau akan mengadakan lawatan industri dan bertemu syarikat utama termasuk CASIC Group, CPMIEC, NORINCO, Sinovac Biotech dan CATIC selain menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Boustead Holdings Berhad dengan syarikat tempatan di China.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button