Karnival Hari Keluarga ATM Zon Selatan jadi platform strategik perkukuh hubungan tentera, masyarakat
KLUANG – Karnival Hari Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan bukan sekadar medan riadah warga tentera, sebaliknya menjadi platform strategik memperkukuh hubungan antara ATM dan masyarakat selaras dengan pelaksanaan Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penganjuran program seumpama itu merupakan sebahagian daripada usaha kementerian dan ATM bagi memastikan kesiagaan anggotanya bukan hanya dari aspek aset dan persenjataan, malah meliputi kesejahteraan, kecerdasan mental, kesihatan fizikal serta kebajikan anggota dan keluarga.
“Apabila kita bercakap mengenai kesiagaan, kita bukan sahaja melihat kepada aspek aset dan senjata yang ada, tetapi juga melihat kepada soal kesiagaan anggota. Bukan sahaja dari aspek nilai seperti integriti, keberanian dan disiplin, tetapi juga keadaan anggota serta keluarga mereka.
“Kita mahu melahirkan anggota yang sentiasa sihat, mempunyai kecerdasan mental yang tinggi dan tubuh badan yang sejahtera kerana semua itu penting dalam memastikan mereka dapat melaksanakan setiap tugasan dengan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Hari Keluarga Kita bersama warga ATM Zon Selatan di X-Park, di sini, hari ini.
Lebih 2,600 anggota tentera bersama keluarga menghadiri karnival anjuran 5 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang diselaraskan Sel Latih 7 Briged melibatkan Kem Mahkota dan Kem Batu Tiga.

Mohamed Khaled berkata, program itu turut menyokong Teras 3 PSPN 2026-2030 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga Kerja Pertahanan dan Teras 4 iaitu Pemerkasaan Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) bagi menyokong Konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).
Beliau berkata, penganjuran program berteraskan pendekatan Whole-of-Government, Whole-of-Society (WoGoS) itu juga bertujuan memupuk semangat kekitaan dalam kalangan anggota selain mengukuhkan jaringan kerjasama sesama warga tentera.
“Melalui program seperti ini, anggota dan keluarga dapat saling mengenali, membina semangat kekitaan serta berkongsi matlamat yang sama. Apabila hubungan itu kukuh, setiap tugasan yang diberikan akan lebih mudah dilaksanakan secara bersama,” katanya.
Baca juga : Karnival CIMIC tarik lebih 200,000 pengunjung sempena Hari ATM ke-92
Pada masa sama, beliau berkata, pembabitan masyarakat dalam program ATM penting bagi meningkatkan kefahaman orang ramai terhadap peranan angkatan tentera serta memupuk semangat patriotisme dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.
“Pertahanan negara hari ini bukan lagi menjadi tanggungjawab mutlak ATM semata-mata. Masyarakat juga perlu memahami ancaman pertahanan baharu dan memainkan peranan membantu angkatan tentera dalam memastikan negara terus aman, stabil dan berdaulat.
“Kita tidak mahu angkatan tentera sahaja bersedia mempertahankan negara sedangkan rakyat tidak memupuk perpaduan, tidak mempunyai semangat cintakan negara dan nilai patriotisme. Sebab itu hubungan erat antara ATM dan masyarakat perlu terus diperkasakan,” katanya.
Sepanjang karnival, pelbagai aktiviti interaktif dianjurkan termasuk pertandingan pickleball, futsal, badminton, galah panjang dan sepak bulu ayam bagi merapatkan silaturahim antara warga ATM dan masyarakat serta memartabatkan warisan budaya tempatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













