BERITA SEMASA

TLDM laksana ujian tembakan aset permukaan, bawah air sempena Latihan Taming Sari 23/25

KOTA KINABALU – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini melaksanakan ujian tembakan yang dilaksanakan oleh aset permukaan dan dan bawah air dalam latihan Taming Sari 23/25 di Laut China Selatan.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan hari ini berkata, latihan tersebut turut disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain; Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman serta pegawai kanan TLDM.

“Latihan tersebut melibatkan tembakan peluru berpandu Exocet MM40 oleh KD Lekiu dan KD Lekir, serta tembakan peluru berpandu Exocet SM39 yang diselaraskan dari kapal selam KD Tunku Abdul Rahman.

“Selain itu, latihan kali ini turut mencatat sejarah apabila kapal selam KD Tun Razak buat pertama kalinya melancarkan torpedo jenis Black Shark dalam konfigurasi peperangan sebenar,” kata kenyataan itu.

Latihan Taming Sari 23/25 dijalankan serentak dengan Latihan KERISMAS 28/25 bermula 8 hingga 31 Julai, dari Pangkalan TLDM Lumut dan berakhir di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

Kawasan latihan tersebut merangkumi kawasan zon maritim Malaysia di Laut China Selatan dengan fokus kepada kebolehan operasi dalam pelbagai domain maritim serta keupayaan interoperabiliti antara unit-unit yang terlibat dan juga sinergi antara agensi pertahanan dan keselamatan melalui penglibatan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Melalui eksesais ini juga, TLDM dapat menguji, menilai serta menambah baik procedur, pelan dan doktrin yang berkaitan selain menambah baik dan melatih tahap kompetensi Armada TLDM khususnya dalam menangani ancaman
peperangan maritim secara konvensional,” kata kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button