BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

Kerajaan giat modernisasi aset pertahanan udara, siap siaga TUDM di tahap tertinggi

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menegaskan komitmen berterusan kerajaan dalam memodenkan aset pertahanan udara negara bagi memastikan kesiapsiagaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berada pada tahap tertinggi.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pemodenan itu penting berikutan sebahagian aset sedia ada semakin usang dan perlu diganti dengan keupayaan baharu yang lebih moden serta bersepadu.

“Kementerian Pertahanan sentiasa memberikan perhatian serius terhadap kesiapsiagaan pertahanan udara kerana ia komponen kritikal dalam sistem pertahanan negara.

“Usaha pemodenan sedang giat dilaksanakan agar selari dengan perkembangan teknologi dan landskap keselamatan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff pada sesi Dewan Negara hari ini mengenai pelan kerajaan bagi meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan udara negara.

Menurut Mohamed Khaled, antara tumpuan utama ialah pelaksanaan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM (CAP55) iaitu pelan transformasi jangka panjang dari tahun 2021 hingga 2055 yang menjadi hala tuju utama pemodenan aset TUDM.

Beliau menjelaskan bahawa Fasa 1 CAP55 (2021–2030) memberi keutamaan kepada penggantian aset lama serta pembinaan keupayaan asas baharu melalui tujuh program perolehan strategik.

Ia terdiri daripada Maritime Patrol Aircraft (MPA), Medium Altitude Long Endurance – Unmanned Aerial System (MALE-UAS), Fighters Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT-LCA), Long Range Air Defence Radar, Utility Helicopter, pemodenan pesawat Multi-Role Combat Aircraft (MRCA) F/A-18C dan Medium Range Air Defence Missile System (MERAD).

“Perolehan strategik ini penting untuk menutup jurang keupayaan kritikal, memperkukuh penguasaan ruang udara dan memastikan keberkesanan operasi TUDM,” ujar beliau.

Mohamed Khaled menyatakan keyakinan bahawa pelaksanaan perolehan dalam Fasa 1 CAP55 akan membolehkan negara mencapai sasaran transformasi ketenteraan yang dirancang.

“Kita berharap perolehan yang dirangka dapat memenuhi sasaran fasa pertama dan seterusnya memastikan kita mampu menguasai pertahanan udara negara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button