Sarawak berisiko alami jerebu tahap tidak sihat hingga 31 Ogos
KUALA LUMPUR – Sarawak berpotensi menjadi negeri paling terjejas akibat jerebu dengan kebanyakan daerah diramal mengalami kualiti udara pada tahap tidak sihat sehingga 31 Ogos ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, beberapa kawasan di negara ini turut berisiko mengalami cuaca berjerebu dan jarak penglihatan terhad dalam tempoh 27 hingga 31 Ogos.
Menurutnya, keadaan itu dipengaruhi angin barat daya serta jumlah titik panas yang masih tinggi di selatan Sumatera dan barat Kalimantan.
“Ramalan model kepekatan jerebu MyCMAQ (Model Kualiti Udara Pelbagai Skala Komuniti Malaysia) menunjukkan Sarawak berpotensi menjadi kawasan paling terkesan dengan kebanyakan daerah dijangka mengalami cuaca berjerebu pada tahap Tidak Sihat.
“Beberapa daerah juga berpotensi mencapai tahap Sangat Tidak Sihat pada 30 dan 31 Ogos,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Hisham berkata, keadaan berjerebu turut dijangka mula berlaku di Sabah mulai Sabtu ini.
Katanya, kepekatan jerebu yang tinggi juga berpotensi berlaku di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 31 Ogos.
“MET Malaysia sedang memantau keadaan ini secara berterusan dan akan mengemas kini ramalan berdasarkan perubahan cuaca serta keadaan atmosfera terkini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








