BERITA SEMASA

Jerebu bertambah buruk, Kuching dan Sri Aman catat IPU amat tidak sihat

KUCHING – Situasi jerebu di Sarawak kembali membimbangkan apabila Kuching dan Sri Aman merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap amat tidak sihat setakat jam 6 pagi Ahad.

Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Kuching mencatatkan bacaan IPU 245, manakala Sri Aman merekodkan bacaan 214.

Bagaimanapun, Serian yang sebelum ini mencatatkan bacaan melebihi 500 dan menjadi kawasan paling terjejas akibat jerebu, menunjukkan perkembangan positif apabila merekodkan IPU 189, sekali gus berada dalam kategori tidak sihat.

Beberapa kawasan lain di Sarawak turut mencatatkan bacaan tidak sihat termasuk Samalaju (200), Bintulu (199), Mukah (194), Sarikei (189), Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (183), Sibu (181), Miri (177) dan Samarahan (107).

Keadaan itu dipercayai dipengaruhi hujan sekejap-sekejap yang berlaku di beberapa kawasan Kalimantan Barat termasuk Pontianak serta beberapa lokasi di Sarawak, sekali gus membantu mengurangkan kesan jerebu rentas sempadan.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan pihaknya terus memantau perkembangan kualiti udara, keadaan cuaca, titik panas serta pergerakan jerebu rentas sempadan.

Menurut jawatankuasa itu, pemantauan selama tiga hari akan dilakukan sebelum sebarang syor berkaitan status jerebu di Serian dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Dalam perkembangan sama, semua aktiviti perniagaan dan pekerjaan di Serian masih dibenarkan berjalan seperti biasa.

Orang ramai terutama golongan berisiko dinasihatkan mengehadkan aktiviti luar dan mengambil langkah perlindungan kesihatan bagi mengurangkan kesan pendedahan kepada jerebu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button