Malaysia gesa reformasi segera misi pengaman PBB
BERLIN – Malaysia menegaskan keperluan mendesak untuk mereformasi misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi meningkatkan keberkesanan operasi dan keselamatan anggota yang terlibat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pasukan pengaman kini berdepan cabaran yang semakin kompleks berikutan landskap geopolitik global yang dinamik.
“Dua anjakan utama perlu dilaksanakan. Pertama, memastikan pasukan pengaman dilengkapi peralatan dan persenjataan termaju bagi mengukuhkan keupayaan bertindak balas, menjadi faktor cegah rintang (deterrent), serta meningkatkan moral anggota,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Mohamed Khaled menyuarakan pandangan itu ketika berucap dalam sesi berprofil tinggi bertajuk ‘Peacekeeping Reform: More Effective and Safer Peacekeeping’ sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Misi Pengaman PBB (UN Peacekeeping Ministerial 2025) yang berlangsung di Berlin hari ini.
Tambah beliau, anjakan kedua melibatkan pembinaan kapasiti melalui pelaburan dalam program latihan dan pembangunan bagi menjamin keselamatan serta kecekapan operasi.
Dalam pada itu, Khaled berkata, beliau turut menekankan kepentingan penyesuaian dasar sejajar dengan kemajuan teknologi dalam misi pengaman.
“Ini termasuk mengkaji semula doktrin operasi, mengemas kini prosedur operasi standard (SOP), serta menetapkan garis panduan dan etika yang jelas dalam penggunaan teknologi,” katanya.
Jelas beliau, pendekatan menyeluruh itu mampu membentuk pasukan pengaman yang bukan sahaja cekap melaksanakan operasi, malah berpegang pada nilai serta tanggungjawab moral yang tinggi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








