Saravanan tiba di mahkamah, berdepan pertuduhan bawah Akta SPRM
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini pagi ini, bagi menghadapi pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau tiba pada pukul 8.24 pagi dengan diiringi pegawai SPRM. Prosiding kes berkenaan dijangka berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi, lapor Kosmo! Online.
Semalam, media melaporkan Saravanan mengesahkan beliau bakal didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung isu pengambilan pekerja asing ketika tempoh pandemik COVID-19 pada 2022.
Ahli Parlimen Tapah itu berkata, pertuduhan berkenaan berpunca daripada kenyataan pihak ketiga yang mengaitkannya dengan isu terbabit.
Timbalan Presiden MIC itu turut mendakwa kenyataan awal yang mengaitkan namanya dibuat oleh seorang individu yang kemudian meninggal dunia, dua bulan selepas individu berkenaan membuat Akuan Berkanun (SD) bagi menarik balik dakwaan tersebut.
“Saya tegaskan bahawa saya tidak pernah berhubung atau mengenali individu berkenaan sama ada menerusi telefon mahupun perkhidmatan pesanan ringkas.
“Walaupun saksi utama telah meninggal dunia, saya tetap bersedia untuk mempertahankan diri dan menghadapi pertuduhan ini mengikut lunas undang-undang,” katanya menerusi hantaran video yang dikongsikan kepada media, semalam.
Saravanan turut berkata pasukan peguamnya akan memohon kepada mahkamah supaya perbicaraan kes berkenaan dipercepatkan tanpa sebarang penangguhan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








