BERITA SEMASA

Op Godfather: Azam Baki sahkan seorang anak Daim telah hubungi SPRM

PUTRAJAYA – Seorang daripada empat anak kepada Allahyarham Tun Daim Zainuddin disahkan telah menghubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung Op Godfather.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini hanya seorang daripada anak bekas Menteri Kewangan itu tampil memberikan maklum balas kepada pihaknya.

“Hanya seorang telah menghubungi kami. Tiga yang lain, kita masih tidak mengetahui keberadaan mereka dan kita telah menggesa melalui pihak peguam supaya menghubungi ketiga-tiga mereka untuk hadir ke pejabat kami secepat mungkin,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM, di sini hari ini.

Pada 28 Februari lalu, SPRM memaklumkan telah mengeluarkan Notis Kesan Individu terhadap keempat-empat anak Allahyarham susulan kegagalan mereka memberi maklum balas serta ketidakpatuhan terhadap dua notis rasmi yang telah diserahkan sebelum ini.

Siasatan Op Godfather dijalankan di bawah Seksyen 23 dan Seksyen 36 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.

Dalam perkembangan sama, Azam mendedahkan siasatan turut melibatkan pengesanan harta di beberapa negara yang dipercayai mencecah nilai berbilion ringgit.

“Kami mempunyai senarai harta-harta di beberapa negara. Saya tidak mahu menyebut negara-negara berkenaan dan juga jumlahnya, tetapi ia berbillion ringgit yang telah kami kesan,” jelasnya.

Menurut beliau, siasatan dikendalikan oleh Bahagian Operasi Khas SPRM yang kini sedang menjalinkan kolaborasi serta perbincangan dengan pihak berkuasa luar negara.

Tambahnya, setiap tindakan penguatkuasaan perlu mematuhi undang-undang negara terlibat melalui mekanisme kerjasama perundangan bersama atau Mutual Legal Assistance (MLA) bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar dan teratur.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button