Pengarah SPRM Perak bersara selepas 37 tahun berkhidmat
IPOH – Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, Datuk Ahmad Sabri Mohamed bersara wajib berkuat kuasa hari ini selepas 37 tahun menabur bakti dalam perkhidmatan awam.
Majlis persaraan dan serah terima tugas beliau telah berlangsung di pejabat SPRM Perak semalam, disempurnakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Indera Junipah Wandi.

Junipah berkata, pihak SPRM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas jasa dan sumbangan Ahmad Sabri sepanjang tempoh perkhidmatannya yang disifatkan cemerlang.
“Pengorbanan beliau tidak ternilai dan kami mendoakan agar beliau dikurniakan kesihatan, keberkatan serta kebahagiaan dalam fasa persaraan,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Sabri pula menyifatkan tempoh 37 tahun bersama SPRM sebagai pengalaman berharga yang sarat dengan kenangan dan pengajaran.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan tertinggi serta seluruh warga SPRM atas sokongan dan kerjasama sepanjang menjalankan amanah.
“Saya berharap SPRM terus cemerlang dalam usaha membanteras rasuah dan hubungan baik ini akan berkekalan,” katanya.
Dalam majlis sama, tugas Pengarah SPRM Perak diserahkan kepada Timbalan Pengarah Operasi negeri itu, KPKPj Jaafar Tajudin yang akan memangku jawatan berkenaan.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman serta barisan pengurusan tertinggi agensi itu.
Majlis diakhiri dengan acara simbolik ‘clock out’ dan pelepasan 37 ekor burung pipit sebagai tanda penghargaan atas tempoh perkhidmatan Ahmad Sabri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








