BERITA SEMASA

KPM nafi dakwaan pelajar 10A tidak ditawar Matrikulasi

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berhubung kononnya terdapat pelajar cemerlang 10A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak ditawarkan tempat ke Program Matrikulasi sesi 2026/2027.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, kesemua pelajar cemerlang yang dibangkitkan dalam dakwaan tersebut telah menerima tawaran atau notifikasi kemasukan melalui saluran rasmi KPM dalam tempoh yang ditetapkan.

“Pada 8 April 2026, KPM telah mengumumkan dasar pengambilan secara automatik bagi pelajar cemerlang 10A SPM yang memohon ke Program Matrikulasi.

“Keputusan pengambilan pertama telah diumumkan melalui Portal Matrikulasi pada 27 April 2026, namun sebahagian pelajar yang memperoleh keputusan 10A selepas semakan semula belum tersenarai kerana proses pemuktamadan data masih berjalan.

“Tarikh akhir permohonan semakan semula keputusan SPM adalah pada 29 April 2026. Selepas itu, seramai 286 pelajar cemerlang 10A (semakan semula) telah menerima notifikasi tawaran melalui SMS pada hari yang sama sekitar jam 11.01 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kesemua pelajar berkenaan boleh membuat semakan dan pengesahan tawaran melalui Portal Matrikulasi bermula 6 Mei 2026.

Mengulas dakwaan bahawa 11 pelajar 10A tidak ditawarkan tempat seperti yang dibangkitkan oleh Wee Ka Siong pada 1 Mei, Kah Woh berkata, KPM telah meminta senarai nama bagi tujuan semakan rasmi.

“Hasil semakan mendapati seorang pelajar telah pun menerima tawaran pada 27 April 2026, manakala 10 lagi telah menerima notifikasi tawaran pada 29 April 2026,” katanya lagi.

Beliau berkata, berdasarkan semakan tersebut, semua pelajar yang disenaraikan telah menerima tawaran dalam tempoh yang ditetapkan dan tiada isu kegagalan penawaran seperti didakwa.

Dalam pada itu, KPM turut menafikan dakwaan bahawa tawaran tersebut adalah hasil rayuan mana-mana pihak, sebaliknya menegaskan ia merupakan pelaksanaan dasar sedia ada kerajaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button