BERITA SEMASA

Pegawai SPRM jadi ‘radar’ pematuhan integriti agensi luar

PUTRAJAYA – Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditempatkan di agensi luar digesa menggalas peranan sebagai benteng hadapan dalam memupuk pembudayaan antirasuah dan memperkasakan ekosistem tatakelola tadbir urus berintegriti secara komprehensif.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, mereka perlu bertindak sebagai ‘mata dan telinga’ SPRM dalam mengenal pasti risiko serta petunjuk awal perlakuan rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan.

“Konsep ā€˜mata dan telinga’ bukan sahaja difahami dalam kerangka undang-undang, malah memerlukan kepekaan profesional untuk menilai maklumat dan mengambil tindakan mengikut saluran yang ditetapkan.

“Pegawai perlu peka terhadap maklumat, aduan, kebimbangan dan persepsi organisasi termasuk memahami perkara tersirat.

“Langkah sedemikian merupakan strategi pencegahan rasuah secara sistemik dan proaktif dalam memperkukuhkan budaya integriti dalam perkhidmatan awam dan syarikat berkepentingan kerajaan,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi SPRM Bersama Pegawai Yang Ditempatkan Ke Agensi Luar (MPSAL) Siri 38 Bil.2 Tahun 2026 di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman, Pengarah-Pengarah Kanan dan Pengarah-Pengarah Bahagian SPRM.

Turut hadir, 115 orang termasuk pegawai SPRM yang ditempatkan di Unit Integriti (UI) dan Unit Integriti dan Governans (IGU) kementerian, badan berkanun dan Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) di seluruh negara.

Sehingga 31 Ogos 2026, seramai 96 pegawai SPRM ditempatkan di UI dan IGU di pelbagai kementerian, badan berkanun dan SBK, empat di Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan seorang di Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).

Dalam pada itu, beliau turut menekankan teras kepimpinan SPRM berasaskan lima prinsip utama iaitu integriti tanpa kompromi; penguatkuasaan yang adil; pencegahan lebih baik daripada hukuman; teknologi dan ketelusan; serta membina kepercayaan rakyat.

“Jangan sesekali menerima arahan pihak luar. Jangan khuatir atau takut, segera laporkan,” katanya.

Menurutnya, peningkatan permintaan penempatan pegawai SPRM di agensi luar membuktikan keyakinan Kerajaan dan Pengurusan Tertinggi Badan Berkanun serta SBK terhadap SPRM dalam memantapkan tatakelola organisasi.

ā€œKejayaan pegawai SPRM di agensi luar diukur apabila kelemahan agensi dikenal pasti lebih awal, tindakan diambil dengan adil, wang awam dilindungi dan keyakinan rakyat terhadap institusi diperkukuh,ā€ katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button