JENAYAH & MAHKAMAH

Kes buli UPNM: Jika terbukti bersalah kadet terlibat akan dirujuk ke Majlis Angkatan Tentera

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan pihaknya mengambil serius terhadap kes buli yang berlaku di institusi pendidikan tinggi (IPT) termasuk kes di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Menurut KPT, merujuk kepada kes seorang penuntut tahun satu ALK, UPNM disyaki cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior dalam kejadian pada 21 Oktober lalu pihaknya menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Kejadian ini dikatakan hanya berlaku sehari sebelum kejadian membabitkan seorang pelajar yang ditekap menggunakan seterika di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur.

“KPT menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan memberi kerjasama penuh untuk tindakan lanjut. Dalam masa sama, rawatan dan kebajikan pelajar yang cedera itu juga akan terus diberikan sebaiknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut katanya, UPNM merupakan salah satu daripada 20 UA di bawah KPT namun mempunyai keunikan dari sudut pentadbirannya kerana ia turut diuruskan oleh Kementerian Pertahanan.

Katanya, pelajar UPNM tergolong kepada dua kategori iaitu pelajar awam (sebanyak 80 peratus) dan pegawai kadet (sebanyak 20 peratus).

“Dalam hal ini, pengurusan kedua-dua kategori pelajar ini terbahagi antara pihak UPNM di bawah KPT dan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) di bawah Kementerian Pertahanan.

“Pelajar awam di UPNM adalah tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) manakala pelajar pegawai kadet di UPNM tertakluk kepada Akta Angkatan Tentera 1972 dan juga AUKU 1971.

“Namun begitu, untuk pegawai kadet, keseluruhan pentadbirannya (kecuali akademik) merangkumi latihan ketenteraan dan perkara buka akademik adalah ditadbir oleh ALK di bawah Kementerian Pertahanan. Dalam hal ini, KPT sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan bagi memastikan kelancaran setiap aktiviti dan program yang diatur untuk pelajar UPNM dalam kedua-dua kategori pelajar,” katanya.

Sehubungan itu katanya, dalam perihal disiplin dan tatatertib, semua pelajar termasuk pelajar kadet ALK ditadbir oleh Jawatan Kuasa Tatatertib Universiti (JKTT) UPNM dan sekiranya pelajar kadet ALK dikenakan hukuman tatatertib oleh universiti, selain dari tindakan susulan yang diambil oleh UPNM berpandukan AUKU 1971, keputusan tatatertib tersebut akan dilaporkan kepada ALK untuk tindakan selanjutnya oleh Majlis Angkatan Tentera.

“Bagi memastikan keselamatan pelajar di kampus terjamin dan insiden tidak berulang, KPT akan mengadakan perbincangan komprehensif bersama Kementerian Pertahanan termasuk mengkaji semula dasar sedia ada untuk memperbaiki sistem disiplin dan prosedur bagi menangani salah laku buli dengan lebih cekap.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button