Silat bantu tangani isu buli di sekolah – Mufti Pahang
KUALA LUMPUR – Isu buli dalam kalangan pelajar sekolah wajar ditangani secara menyeluruh termasuk melalui pendekatan berasaskan seni mempertahankan diri seperti silat yang bukan sahaja melatih jasmani tetapi juga sahsiah diri.
Mufti Pahang, Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata, penyertaan pelajar dalam seni silat bukan sekadar memberi pendedahan kepada teknik pertahanan diri, malah turut membentuk adab, tatasusila dan nilai budaya Melayu yang luhur.
“Silat boleh membina keyakinan diri dan semangat kekeluargaan dalam kalangan pelajar. Kebiasaannya, kasih sayang serta keprihatinan sesama ahli dalam sesebuah kumpulan silat mampu menjadi benteng daripada perlakuan buli.
“Sistem usrah yang diamalkan antara senior dan junior juga boleh dijadikan wadah membentuk hubungan yang sihat serta menyokong perkembangan emosi pelajar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.
Bagaimanapun beliau menegaskan pelaksanaan program sedemikian perlu berpaksikan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah agar tidak terpesong daripada landasan akidah dan manhaj Islam yang sahih.
Mengulas lanjut, Asmadi berkata, ramai remaja hari ini sebenarnya mahu berubah ke arah lebih baik, namun terperangkap dalam kelompok rakan yang toksik akibat kekurangan alternatif sosial yang positif.
“Antara punca utama remaja sukar meninggalkan kelompok yang toksik ialah kerana mereka bimbang akan menjadi ‘kera sumbang’ dan terasing di sekolah.
“Kebimbangan itu mungkin nampak remeh tetapi ia sebenarnya isu besar dalam dunia remaja. Tekanan rakan sebaya sangat mempengaruhi psikologi dan pembentukan tingkah laku mereka,” jelasnya.
Tambah beliau, terdapat pelbagai nilai dan sistem dalam budaya masyarakat yang boleh dihidupkan semula bagi membentuk persekitaran sosial yang sihat dalam kalangan pelajar.
“Budaya kita kaya dengan nilai prihatin, rasa hormat dan semangat kekitaan. Semua ini boleh dijadikan asas dalam membentuk jati diri pelajar dari peringkat akar umbi.
“Namun, usaha itu perlu dilaksanakan secara berterusan dan melibatkan kerjasama semua pihak khususnya para pendidik dan ibu bapa,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








