POLITIK

PBM lantik Ronnie Liu sebagai ketua penerangan

CYBERJAYA – Parti Bangsa Malaysia (PBM) mengumumkan pelantikan Ronnie Liu sebagai ketua penerangan selepas seminggu menyertai parti berkenaan.

Setiausaha Agung PBM, Munan Laja berkata, Majlis Tertinggi parti memutuskan melantik bekas veteran DAP itu ke jawatan berkenaan dalam satu mesyuarat, semalam.

Dalam mesyuarat sama, PBM turut membuat beberapa pelantikan lain iaitu William Low sebagai timbalan ketua penerangan, Benny Sieh menjawat jawatan bendahari agung diikuti dan Sieh Ing Qing sebagai timbalan bendahari agung.

Munan berkata, Presiden parti, Larry Sng turut melantik Engga Unchat dan Saarah Ali Bashah ke dalam Majlis Tertinggi di bawah kuota pelantikan presiden.

“Pelantikan ini diharapkan dapat memperkukuhkan lagi kepimpinan dan jentera PBM, di samping meningkatkan semangat kerjasama serta komitmen semua pihak dalam membawa parti ke tahap yang lebih tinggi.

“PBM yakin barisan kepimpinan yang diperkukuhkan ini akan terus memberikan sumbangan yang positif dalam memperluaskan gerak kerja parti serta memperkasakan perjuangan dan aspirasi PBM untuk rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Ronnie Liu yang juga bekas ADUN Sungai Pelek, mengumumkan menyertai PBM 9 Ogos lalu.

Katanya, beliau memilih menyertai PBM susulan perbincangan bersama Sng mengmabil kira hala tuju politik parti tersebut paling dekat dengan jiwanya, manakala pengalaman mereka saling melengkapi, dengan Sng lebih arif mengenai Borneo, manakala Liu di Semenanjung.

Sebelum ini, Sng menyifatkan penyertaan Liu dalam PBM menjadi sebahagian usahanya meluaskan kepimpinan PBM.

Namun, penganalisis politik menyuarakan kesangsian dengan rancangan PBM yang berpangkalan di Sarawak untuk meluaskan pengaruhnya di Semenanjung, selain menjangkakan hanya memberi impak kecil walaupun Liu mengetuai usaha itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button