Siti Khadijah sumbang ‘travel kit’ kepada 284 jemaah haji kumpulan kelima
SEPANG – Seramai 284 jemaah haji kumpulan kelima (KT05) menerima kit perjalanan Amal (Travel kit) sumbangan pengeluar pembuatan kelengkapan pakaian solat, Siti Khadijah di Dewan Mentari, Movenpick di sini, hari ini.
Siti Khadijah dalam satu kenyataan hari ini berkata, pemberian sumbangan berupa barangan kelengkapan dan keperluan ibadah haji itu diberikan dengan kerjasama Amal by Malaysia Airlines.
Ketua Pegawai Komersial Kumpulan Siti Khadijah, Mohammad Muhaimin Aminuddin berkata, jemaah haji KT05 merupakan kumpulan pertama yang menaiki Amal by Malaysia Airlines melalui proses daftar masuk di Kompleks Tabung Haji Sepang untuk penerbangan terus ke Madinah.
Katanya, kerjasama bersama Amal bakal membuka ruang dan peluang Siti Khadijah dalam membantu meningkatkan keselesaan jemaah haji dan umrah khususnya.
“Perancangan dan usaha untuk bekerjasama bersama Amal mengambil masa lebih daripada setahun dan Alhamdulillah hari ini kami dapat peluang untuk sama-sama meraikan jemaah Haji. Kami mahu memberikan keselesaan kepada jemaah haji dan umrah dalam mengerjakan ibadah.
“Apa yang istimewa, kami sumbangkan barangan Siti Khadijah bernilai RM200 yang berupa barangan kelengkapan solat untuk lelaki dan wanita sewaktu di Tanah Suci nanti,” katanya dalam majlis penyerahan sumbangan tersebut hari ini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Haji, Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan Pengasas Jenama Telekung Siti Khadijah, Padzilah Enda Sulaiman.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Amal by Malaysia Airlines, Muhammad Najmi Mansor berkata, jalinan kerjasama antara Amal dan Siti Khadijah amat bermakna kerana kedua-dua pihak mempunyai visi dan nilai yang sama iaitu memberi keselesaan dan kemudahan kepada jemaah beribadah dan juga untuk menarik lebih ramai menunaikan haji dan umrah.
Ujarnya, semua penerbangan Amal ke Tanah Suci adalah termasuk penyediaan perkhidmatan seperti talbiah, doa musafir, azan dan tazkirah serta pengumuman miqat.
Dalam perkembangan lain, pada tahun ini, Siti Khadijah juga bakal memberi fokus kepada barangan lelaki seperti kain pelikat, jubah, kurta, kopiah dengan misi menyediakan kelengkapan solat dan pakaian harian yang selesa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








