Sidang Kemuncak ASEAN: Beberapa laluan ditutup secara berperingkat
KUALA LUMPUR – Beberapa laluan di Selangor akan ditutup secara berperingkat sempena Sidang Kemuncak ASEAN khususnya di laluan membabitkan ketibaan dan keberangkatan pulang para pemimpin serta delegasi persidangan tersebut.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan penutupan itu melibatkan dua laluan utama, iaitu dari Kompleks Bunga Raya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke ibu negara, serta dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang ke destinasi yang sama.
Penutupan itu dijadualkan berlaku mengikut waktu ketibaan delegasi pada Ahad ini dan pada waktu keberangkatan pulang pada 28 Mei nanti.
“Bagi pergerakan dari KLIA, beberapa laluan yang terlibat ialah dari Kompleks Bunga Raya menuju ke Lebuhraya KLIA Extension, melalui Plaza Tol KLIA-Lebuhraya Elite, susur masuk ke Putrajaya, susur masuk ke Lebuhraya MEX dan kawasan Rehat & Rawat (RnR) Seri Kembangan di Lebuhraya MEX,” katanya.
Sementara itu, bagi laluan dari Pangkalan TUDM Subang, kawasan yang akan terjejas termasuk jalan dari TUDM Subang ke Jalan Monfort, Lebuhraya GCE, Plaza Tol Shah Alam, Lebuhraya NKVE, susur keluar Kilometer 22 NKVE ke Lebuhraya Utara-Selatan dan berakhir di sempadan Selangor-Kuala Lumpur, iaitu di Kilometer 25.1 Pintu Gerbang.
Menurut Hussein, penutupan dan lencongan laluan itu akan dibuat secara berperingkat bergantung kepada pergerakan konvoi dan laluan akan dibuka semula sebaik sahaja konvoi melepasi kawasan tersebut.
“Walau bagaimanapun, penutupan penuh dijangka berlaku hanya di pusat bandar Kuala Lumpur, khususnya laluan menuju ke lokasi persidangan utama iaitu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC),” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya agar peka terhadap pengumuman dan perubahan laluan sepanjang tempoh persidangan.
Pengguna juga disarankan untuk merancang semula jadual perjalanan bagi mengelakkan kesesakan yang mungkin berlaku akibat penutupan ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








