Malaysia pastikan ASEAN bersatu demi keamanan serantau
JAKARTA – Malaysia menegaskan komitmennya untuk memastikan ASEAN kekal bersatu sebagai benteng utama dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau, selaras dengan peranannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keterlibatan Malaysia dalam memimpin ASEAN bukan sahaja mencerminkan keazaman negara dalam memperkukuh perpaduan serantau, malah menonjolkan pendirian tegas terhadap keamanan sejagat.
“Hari ini saya tampil untuk julung kalinya di Gedung Sekretariat ASEAN yang berpusat di Jakarta bersempena peranan penting Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.
“Ia antara lain menggariskan serta menonjolkan lambang komitmen kita yang tidak berbelah bahagi terhadap cita dan semangat ASEAN yang kental dan luhur,” katanya dalam kenyataan di Facebook malam tadi.
Baca juga : Kemboja, Thailand setuju adakan gencatan senjata
Mengulas peranan Malaysia dalam menyelesaikan ketegangan antara dua negara anggota, Anwar berkata, Malaysia menekankan keupayaan diplomasi sebagai asas utama menjamin keamanan.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia muncul memimpin usaha mendamaikan Kemboja dan Thailand, yakni dua negara tetangga yang hampir terseret ke kancah konflik yang lebih dahsyat.
“Dengan penglibatan aktif China dan Amerika Syarikat, kita berjaya capai persetujuan gencatan senjata serta merta tanpa syarat, sekali gus menjadi bukti betapa diplomasi mesti memayungi usaha kita menjelmakan keamanan dan kepimpinan yang tegas,” ujar beliau.
Sementara itu, Anwar turut menekankan kepentingan perpaduan ASEAN dalam menghadapi ketidaktentuan global serta tekanan geopolitik yang semakin meningkat.
“Dunia kini dirundung ketegangan kuasa besar, perlumbaan geo-ekonomi yang melelahkan dan keruntuhan multilateralisme. Dalam lanskap sebegini, ASEAN tidak boleh melemah, berpecah, jauh sekali ketinggalan. Kita mesti bersatu, perkukuh peranan ASEAN dan memastikan suara rantau ini terus dihormati,” jelasnya.
Menurut Perdana Menteri, Malaysia komited memacu inisiatif ekonomi serantau demi manfaat bersama rakyat ASEAN.
“Saya sebut Malaysia komited memacu pelaksanaan Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP), mempercepat ASEAN Power Grid dan memuktamadkan ASEAN Digital Economy Framework Agreement bagi menjamin masa depan ekonomi yang terbuka, adil dan lestari untuk 660 juta rakyat di rantau ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan pentingnya ASEAN terus berdiri sebagai suara berpengaruh yang tidak tunduk kepada kuasa luar.
“Justeru, ASEAN akan terus bersuara, menjamin kerukunan dan memimpin dengan ketegasan, dan tidak sekadar mengikut susun atur order global.
“Kita tahu ke mana arah yang dituju dan Malaysia akan pastikan ASEAN akan lebih tegap dan melangkah sederap demi kestabilan, kemakmuran dan keamanan sejagat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








