
Insiden pendakwah hina penjual teh satu pengajaran besar
Hindari sikap angkuh, hina golongan tidak bernasib baik
PUTRAJAYA – Insiden seorang pendakwah di Indonesia yang didakwa menghina seorang penjual teh perlu diambil sebagai satu pengajaran besar, khususnya kepada golongan berilmu dan berpengaruh dalam masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejadian itu sepatutnya menjadi peringatan kepada semua, supaya menghindari sikap angkuh dan menghina golongan yang kurang bernasib baik.
“Baru-baru ini, di Indonesia, seorang kiyai (pendakwah) menghina seorang penjual teh dalam ceramahnya sehingga video tersebut tular di media sosial. Ia mencetuskan perbincangan hangat, termasuk teguran keras daripada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
“Akhirnya, pendakwah tersebut terpaksa memohon maaf secara langsung kepada penjual teh itu.
“Insiden ini membuktikan bahawa keangkuhan boleh wujud bukan hanya dalam kalangan orang awam, tetapi juga mereka yang memahami agama,” kata Anwar ketika berucap di perhimpunan bersama kakitangan Kementerian Kewangan, di sini hari ini.
Tegas Perdana Menteri, insiden seperti itu harus menjadi peringatan kepada semua, termasuk kerajaan, untuk memastikan dasar yang dilaksanakan mengambil kira nasib golongan miskin dan bawahan.
“Dalam melaksanakan dasar negara, kita harus memikirkan maknanya kepada mereka yang berada di akar umbi. Jangan hanya memacu pertumbuhan ekonomi dan menarik pelaburan, tetapi manfaatnya harus sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” tambahnya.
Anwar kemudiannya mengingatkan semua bahawa keadilan dan kesantunan adalah asas dalam membangun masyarakat yang harmonis, terutamanya dalam menyantuni golongan yang kurang bernasib baik.
Terdahulu, tular di media sosial video pendakwah terkenal Indonesia, Gus Miftah, menghina seorang penjual teh ais dengan menggelarnya ‘bodoh’ ketika berceramah di Magelang, Jawa Tengah.
Video tersebut mencetus kemarahan netizen bukan sahaja di Indonesia, tetapi juga Malaysia.
Susulan penularan video itu dan reaksi netizen, Presiden Prabowo Subianto turut campur tangan dengan memberi teguran keras menyebabkan pendakwah itu memohon maaf secara terbuka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







