PMX

F1 di Sepang bukti keyakinan dunia terhadap Malaysia – PM

KUALA LUMPUR – Pemilihan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai lokasi perlumbaan Formula Satu (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix tahun ini membuktikan keyakinan dunia terhadap keupayaan Malaysia dalam menganjurkan acara sukan bertaraf antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penganjuran perlumbaan gantian GP Bahrain di Sepang bukan sekadar acara sukan permotoran, sebaliknya mencerminkan hubungan persahabatan, kepercayaan serta kerjasama erat antara Malaysia dan Bahrain.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dengan Putera Mahkota Bahrain merangkap Perdana Menteri Bahrain, Sheikh Salman bin Hamad Al Khalifa serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali.

“Saya merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada Yang Mulia Putera Mahkota, kerajaan dan rakyat Bahrain atas kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia.

“Kami berbesar hati untuk menyokong Bahrain, F1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dalam menganjurkan F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang tahun ini,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Anwar berkata, kerjasama itu turut mengukuhkan imej Malaysia sebagai negara yang memiliki keupayaan, infrastruktur bertaraf dunia serta pengalaman luas dalam mengendalikan acara antarabangsa berprofil tinggi.

“Malaysia bersedia menyambut kedatangan F1, FIA, pasukan dan peminat dari seluruh dunia ke Sepang.

“Kami berharap dapat menampilkan infrastruktur bertaraf dunia, kecemerlangan operasi serta hospitaliti mesra Malaysia, selain memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara menerusi acara istimewa ini,” katanya.

Terdahulu, F1 mengesahkan SIC akan menjadi lokasi perlumbaan gantian GP Bahrain pada 4 Oktober depan selepas pusingan Bahrain yang dijadualkan April lalu dibatalkan berikutan situasi keselamatan di rantau Asia Barat.

Perlumbaan itu akan dikenali secara rasmi sebagai ‘Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia’, sekali gus menandakan kembalinya F1 ke Sepang selepas kali terakhir menjadi tuan rumah pada 2017.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button