Laungan ‘Kekal Anwar’ bergema selepas pembentangan RMK13
KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini bergema dengan laungan ‘Kekal Anwar’ sejurus Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Beberapa Ahli Parlimen kerajaan dilihat berdiri dan melaungkan sokongan tersebut sebagai tanda solidariti terhadap kepimpinan Anwar, sebelum sesi persidangan ditangguhkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng kepada Isnin hadapan.
Laungan itu dipercayai sebagai reaksi kepada seruan ‘Turun Anwar’ yang menjadi antara slogan utama dalam perhimpunan aman anjuran pembangkang di ibu negara pada Sabtu lalu, yang bertujuan mendesak perubahan kepimpinan negara.
Tindakan Ahli Parlimen menyuarakan sokongan terbuka itu turut mencuri tumpuan pengunjung dan petugas media yang berada di bangunan Parlimen.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan RMK13 selama hampir dua jam, menyentuh pelbagai aspek pembangunan termasuk pelaburan strategik, semakan gaji minimum, peluasan hasil cukai serta pelaksanaan pelbagai inisiatif perlindungan sosial.
Beliau tampil segak dengan kemeja batik lengan panjang ketika menyampaikan pembentangan di hadapan Ahli-ahli Dewan Rakyat.
RMK13 yang merangkumi hala tuju pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030, turut menekankan pendekatan pertumbuhan tinggi dan penciptaan nilai (high growth, high value) dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, kesihatan, digital, serta kesejahteraan rakyat di bandar dan luar bandar.
Pembentangan dokumen penting negara itu menjadi perhatian ramai pihak susulan beberapa dasar baharu yang dijangka memberi impak langsung kepada rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








